Home » Sabah peruntuk RM40 juta kepada sekolah, RM50 juta badan keagamaan bukan Islam
Berita GRS • Politik

Sabah peruntuk RM40 juta kepada sekolah, RM50 juta badan keagamaan bukan Islam

KEHARMONIAN: Masidi berkata bantuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh institusi pendidikan dan keagamaan demi kesejahteraan serta perpaduan rakyat.

KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM90 juta kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh negeri bagi tahun 2026 — sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memperkasakan pendidikan serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Daripada jumlah itu, RM40 juta diperuntukkan kepada 329 sekolah, manakala RM50 juta lagi kepada 1,761 badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, berkata bantuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pembangunan sektor pendidikan serta memperkukuh peranan institusi keagamaan demi kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, peruntukan itu turut mencerminkan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan masyarakat pelbagai kaum dan agama terus diberikan perhatian, di samping memperkukuh keharmonian serta perpaduan rakyat.

“Bantuan ini meliputi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur, penambahbaikan dan penaiktarafan kemudahan asas, serta pembaikan fasiliti dan bangunan.

“Melalui bantuan berkenaan, kerajaan berharap institusi pendidikan dan badan keagamaan bukan Islam dapat terus memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan, membentuk masyarakat berilmu serta menyumbang kepada pembangunan sosial negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 dijadualkan berlangsung Selasa, 24 November, jam 9 pagi, di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort, di sini.

Masidi, yang juga Pengerusi jawatankuasa berkenaan, akan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi menyempurnakan majlis penyerahan bantuan tersebut.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment