KOTA KINABALU: Seiring matlamat melahirkan modal insan bertaraf dunia, kerajaan Sabah komited memperkasa agenda pendidikan di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata pelbagai usaha diperkenalkan bagi menjayakan matlamat itu.
Antaranya termasuk menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membolehkan anak-anak tempatan negeri Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Ini antara usaha dan pendekatan kerajaan melahirkan modal insan, selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya berucap pada Majlis Graduasi Ke-5 STPM SMK Kinarut Sesi 2022/2023 di Pusat Konvensyan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Hadir sama Pengetua Cemerlang SMK Kinarut, Zamharir Hj Ahmad.
Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata menerusi TPNS di mana Kumpulan Yayasan Sabah menjadi penggerak utamanya, kerajaan memastikan ia benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
Justeru, katanya, anak-anak tempatan Sabah yang berkelayakan tapi kurang berkemampuan sewajarnya memanfaatkan kemudahan itu.
“Ini bertujuan menentukan negeri Sabah dapat memiliki modal insan berkualiti tinggi, demi untuk memacu pembangunan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama antara ibu bapa dan guru-guru terus diperkasa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, PIBG merupakan organisasi cukup signifikan dan penting terhadap kemajuan pendidikan serta perkembangan sesebuah sekolah.
“Ini kerana hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai oleh sesebuah sekolah itu boleh didokong bersama oleh PIBG ke arah membentuk sekolah terbilang,” katanya.
Ghulam juga mengulangi komitmennya untuk memajukan bidang pendidikan di kawasan yang diwakilinya.
“Pendidikan merupakan asas ke arah pembangunan bangsa dan negara.
“Justeru, para pegawai pendidikan serta tenaga pendidik memikul tanggungjawab besar dalam memastikan matlamat ini tercapai,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada PIBG untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan.
–TAMAT
Add Comment