Home » Beliawanis Gagasan Rakyat Sindumin adakan Program Santai Merdeka
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS

Beliawanis Gagasan Rakyat Sindumin adakan Program Santai Merdeka

ALBUM: Sebahagian penduduk yang terlibat dalam Program Santai Merdeka di Kg Sungai Tiga merakamkan gambar kenangan dengan Nurfasiha.

SIPITANG: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin telah mengadakan Program Santai Merdeka sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Sabah di Kampung Sungai Tiga.

Program itu disertai penduduk setempat dan sekitar dengan pelbagai pengisian menarik dengan acara terawal iaitu menaikkan bendera Malaysia dan bendera Sabah sekitar 6.30 pagi dengan disusuli senamrobik.


Selain itu, turut diadakan Larian Merdeka sejauh satu kilometer (km); Pertandingan Busana Merdeka, Basikal Berhias, acara Bola Tampar Santai dan kemudian diakhiri dengan kuiz kemerdekaan, di penghujung program yang diadakan itu.


Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin Nurfasiha Masri dalam ucapan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya penduduk kampung dalam program itu.


Sambil memuji kesepakatan pemimpin akar umbi dan penduduk setempat, beliau menyifatkan penglibatan semua pihak dalam program itu wajar dicontohi kerana jelas memaparkan semangat luar biasa selain komited lebih-lebih lagi dalam menyambut Hari Kemerdekaan.

Kebiasaan katanya, hari cuti dimanfaatkan bersama keluarga namun atas semangat Merdeka, ramai penduduk meluangkan masa dalam acara-acara yang telah diatur sepanjang Program Santai Merdeka yang diadakan di Kg Sungai Tiga.


Nurfasiha berharap semangat yang ditunjukkan penduduk kampung itu akan diteruskan lagi dalam program-program akan datang bagi mengukuhkan semangat perpaduan dan silaturahim komuniti.


Dalam pada itu, beliau bertekad untuk terus menyantuni masyarakat terutama golongan beliawanis di kawasan itu seperti yang disarankan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.


Sebagai sayap parti katanya, Beliawanis bukan sahaja akan merancang program bermanfaat tetapi juga akan melaksanakannya sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan golongan itu bukan sahaja didekati tetapi juga menerima manfaat seiring arus pembangunan semasa.


Turut hadir Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sindumin Helmy Saidin; Pengerusi KRT Kg Sungai Tiga Musi Ahmad; Pengerusi JKKK Kg Sungai Tiga Nurul Ain Aliddin; Muhammad Suffri Alipchin dan Suryanshah Abd Rahman mewakili Pemuda Gagasan Rakyat Sindumin; Ketua Kampung Kg Sungai Tiga, AJK Beliawanis Gagasan Rakyat Sindumin serta Ketua-Ketua Cawangan Gagasan Rakyat Zon Usuk.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment