Home » Cabaran kesihatan Sabah diberi perhatian, Kerajaan Negeri teliti inisiatif khas
Berita GRS • Politik

Cabaran kesihatan Sabah diberi perhatian, Kerajaan Negeri teliti inisiatif khas

PERASMIAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, Tuaran, hari ini.

TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti cadangan pelaksanaan satu inisiatif khas bagi membantu menangani pelbagai cabaran dalam sektor kesihatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan masih terdapat pelbagai isu dan keperluan berkaitan perkhidmatan kesihatan yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri pada masa sama terus menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif menerusi penyertaan dalam pelbagai aktiviti sukan serta rekreasi, termasuk sambutan Hari Sukan Negara yang diadakan setiap tahun.

“Namun, masih banyak yang perlu kita buat dan untuk itu Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan untuk melaksanakan satu inisiatif khas bagi membantu menangani cabaran-cabaran sektor kesihatan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di Padang Istiadat, di sini, hari ini.

PELEPASAN: Hajiji menyempurnakan pelepasan peserta Larian Ria MADANI dan Berjalan Ria MADANI sempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026.

Hajiji berkata, Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan yang menghimpunkan masyarakat untuk bersukan, sebaliknya merupakan satu gerakan berterusan bagi membudayakan sukan, kecergasan dan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, sukan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang sihat, cergas dan produktif, selain menjadi medium memperkukuh perpaduan tanpa mengira umur, kaum, agama atau latar belakang.

Beliau berkata, Sabah menyasarkan 651,610 penyertaan sempena sambutan tahun ini, sekali gus memerlukan komitmen dan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, penglibatan kementerian dan jabatan kerajaan negeri serta Persekutuan, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, persatuan sukan, pertubuhan belia dan komuniti amat penting bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

Hajiji turut menyambut baik pendekatan memperluas penganjuran sambutan peringkat negeri ke daerah, termasuk pemilihan Tuaran sebagai lokasi utama tahun ini.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan lebih ramai masyarakat di peringkat akar umbi menyertai aktiviti yang dianjurkan serta merasai kemeriahan sambutan Hari Sukan Negara.

Selain Tuaran, sambutan turut diadakan di lima zon lain iaitu Tawau, Sandakan, Beaufort, Kudat dan Keningau, bagi memastikan penglibatan masyarakat dapat diperluas ke seluruh Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan semangat Hari Sukan Negara perlu diteruskan sepanjang tahun dan tidak seharusnya terhad kepada sambutan tahunan semata-mata.

Menurutnya, golongan belia khususnya perlu digalakkan menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada rutin harian kerana aktiviti berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah membantu membentuk sahsiah dan jati diri.

“Sukan bukan sahaja membentuk tubuh yang sihat. Sukan turut mengajar kita tentang disiplin, kepimpinan, kerjasama, ketahanan diri dan semangat untuk tidak mudah berputus asa.

“Nilai-nilai inilah yang kita perlukan dalam membentuk generasi muda Sabah yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Hajiji berkata, kejayaan sebenar usaha membudayakan sukan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah program atau bilangan peserta semata-mata, sebaliknya menerusi perubahan amalan masyarakat yang menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Sehubungan itu, beliau berharap sambutan Hari Sukan Negara dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program sukan dan rekreasi yang inklusif, mudah disertai serta sesuai untuk pelbagai peringkat umur.

Beliau turut mahu program seumpama itu dimanfaatkan sebagai platform mengenal pasti bakat sukan dalam kalangan remaja di peringkat daerah untuk dibimbing dan diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment