Home » Dasar mesra pelabur pacu kemajuan koperasi di Sabah – Nizam
Uncategorized

Dasar mesra pelabur pacu kemajuan koperasi di Sabah – Nizam

NIZAM (kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Ali selepas merasmikan program

TAWAU: Kerajaan negeri yang mengamalkan dasar mesra pelabur memberi kesan positif dan peluang kepada koperasi di Sabah, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, sehingga September lalu, Sabah berjaya memperolehi sejumlah RM11.9 bilion pelaburan asing dan RM942 juta pelaburan domestik dalam tempoh dua tahun.

Justeru, beliau meminta supaya gerakan koperasi di Sabah terus meningkatkan daya saing, merebut peluang ekonomi yang tersedia dan bekerjasama membuat perubahan ke arah transformasi negeri ini.

“Dalam hal ini, koperasi di seluruh Sabah, khususnya di Tawau, harus bijak menggunakan semua sumber dan peluang yang ada untuk menjalankan aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan yang boleh memberi pulangan lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) 2023, di sini, petang Khamis lalu.

Program itu adalah  anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah.Hadir sama, Ketua Pengarah IKMa Datuk Mohd Ali Mansor.

Menurutnya, statistik gerakan koperasi di Malaysia sehingga Disember 2022 menunjukkan terdapat 15,315 koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan jumlah keanggotaan sebanyak 7.05 juta orang.  

Di Sabah sahaja, sebanyak 1,706 koperasi berdaftar dengan SKM, dengan 218 koperasi direkodkan di Tawau setakat Disember lalu.

“Ini jelas menunjukkan terdapat potensi rangkaian perniagaan yang sangat luas dalam ekosistem koperasi di Sabah.

“Ia merupakan platform terbaik untuk meningkatkan tahap pendapatan dan sosio-ekonomi masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, IKMa Zon Sabah merancang 60 program di seluruh negeri pada tahun ini, bertujuan untuk memberi ilmu dan secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan pihaknya dengan semua pelanggan.

Katanya, program MasKop itu pula adalah salah satu fokus utama IKMa untuk memberi informasi kepada koperasi dan usahawan supaya merebut peluang latihan, perniagaan dan ekonomi serta maklumat bantuan dan sokongan agenda di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), tahun ini.

“Ini adalah acara tahunan IKMa dengan sasaran 30 lokasi program turun padang di seluruh negara. Di Sabah sahaja, MasKop sudah dilaksanakan di Kudat, Keningau, Sandakan, Penampang dan Tawau.

“IKMa Zon Sabah cawangan Tawau juga sudah mula beroperasi pada Januari tahun ini dengan kampus cawangannya terletak di T2 Apas,” katanya.

Beliau berharap operasi cawangan itu dapat membantu usaha penyampaian perkhidmatan serta aktiviti pembangunan modal insan yang lebih fokus serta capaian lebih luas kepada warga koperator di kawasan Pantai Timur Sabah.

— Lagatah Toyos