Home » GRS sokong calon Kerajaan Perpaduan dalam PRN enam negeri
Politik

GRS sokong calon Kerajaan Perpaduan dalam PRN enam negeri

RAMAH MESRA: Hajiji berkesempatan beramah mesra dengan rakyat Sabah yang tinggal di Negeri Sembilan

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa memberi sokongan padu terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, semua pengundi di enam buah negeri yang diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di semenanjung diminta supaya memilih calon Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat Sabah yang menetap dan mengundi di enam buah negeri berkenaan juga diharapkan dapat memilih calon Kerajaan Perpaduan.

“Sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sangat penting supaya kestabilan politik dapat dikekalkan dan demi masa depan negara,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika bertemu rakyat Sabah di Hotel Royal Chulan, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Se,bilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe.

Katanya, GRS menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan kerana ia adalah platform terbaik bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia untuk terus maju ke hadapan.

“Saya menggesa orang ramai supaya menolak perbalahan kaum dan ketaksuban agama yang digunakan oleh pembangkang sebagai bahan kempen mereka.

“Taktik kempen sebegitu dapat merugikan negara majmuk dan ia tidak akan menjamin masa depan Malaysia,” katanya.

Hajiji berkata, kestabilan politik adalah salah satu faktor penting untuk negara maju dan ia hanya boleh dicapai apabila rakyat terus bersatu.

Menurutnya, kerajaan sentiasa melindungi hak orang melayu seperti dalam perlembagaan, tetapi ini tidak bermakna kepentingan kaum lain diabaikan.

“Hak Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam agama rasmi dan keistimewaan raja-raja Melayu tetap dilindungi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia mesti dihormati.

“Sabah adalah contoh perpaduan dalam kepelbagaian kerana walaupun berbeza bangsa dan agama, tetapi dapat hidup harmoni sejak sekian lama,” katanya.

— TAMAT