Home » Hajiji terima kunjungan hormat Nancy Shukri
Berita Gagasan Rakyat Politik

Hajiji terima kunjungan hormat Nancy Shukri

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima cenderamata daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Isnin.

Nancy Shukri memaklumkan Hajiji berkaitan program-program untuk memperkasakan wanita khususnya di Sabah yang telah dilaksanakan oleh jabatan dan agensi dibawah kementeriannya di negeri ini.

Menurutnya, pada tahun lepas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah melaksanakan Program Wanita Bangkit.

Katanya, program itu telah melibatkan hampir 2,000 wanita Sabah. Sementara itu Program Advokasi Akta Antigangguan Seksual di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) pula melibatkan lebih 1,000 wanita di negeri ini.

Untuk tahun ini katanya, beliau ingin meluaskan lagi perkhidmatan KPWKM di Sabah terutamanya untuk memperkasakan wanita.

Beliau diiringi oleh Ketua Pengarah JPW Malaysia, Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Nordina Haron.

Nancy berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program rasmi di Lahad Datu.

`– TAMAT