KOTA KINABALU: Petani padi huma (bukit) di kawasan pedalaman Sabah perlu dikecualikan daripada sebarang tindakan dibawah Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023.
Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan sebagai subsidi untuk meluaskan lagi penanaman padi huma seluas 43,000 hektar khususnya di kawasan pedalaman dan hulu Sabah dan Sarawak seperti di Pensiangan dan Tenom, Sabah.
Katanya, kaedah penanaman tradisional itu memerlukan pembakaran kawasan dan mereka hanya menjalankan aktiviti pertanian dengan skala yang kecil dan bukan komersial.
“Penanaman padi huma dilakukan sejak nenek moyang suku kaum Murut di kawasan pedalaman khususnya di lereng bukit atau tepi sungai secara berpindah rendah.
“Justeru, tidak wajar untuk mengenakan tindakan RUU Kualiti Alam Sekeliling kepada petani padi huma ini kerana mereka hanya membuka ladang yang sangat minimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.
Menurutnya, pengecualian harus diberikan kepada para petani padi huma dalam akta ini dan berhati-hati memperincikan pindaan RUU berkenaan.
Bobby berkata, Pindaan RUU itu bertujuan untuk memperkasakan fungsi Jabatan Alam Sekitar dengan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Ia bagi mewujudkan denda yang lebih tinggi untuk mengekang dan menghukum penjenayah alam sekitar, di samping memberi isyarat yang jelas bahawa kerajaan serius mengawal pencemaran.
“Saya tiada masalah tentang cara kita bagi mengekang dan menghukum penjenayah alam sekitar, dengan menaikkan hukuman serta denda hingga berjuta ringgit atau apa cara sekali pun.
“Dengan adanya RUU itu, pada masa hadapan segala aspek pembangunan untuk agenda meningkatkan ekonomi berkaitan dengan alam sekeliling akan diambil peduli oleh pihak terlibat,” katanya.
Beliau berkata, dengan menetapkan hukuman penjara mandatori dapat mencegah berlakunya kes-kes pencemaran atau penjenayah alam sekeliling di masa hadapan.
“Kerajaan juga diharapkan dapat peruntukan untuk agensi penguatkuasaan alam sekitar bagi meningkatkan lagi program latihan kakitangan, peralatan dan kemampuan teknologi,” katanya.
Bobby meminta kerajaan menjelaskan sama ada RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 akan turut terpakai terhadap pesalah industri dari negara jiran khususnya pihak yang mengakibatkan berlaku masalah jerebu rentas sempadan.
“Apakah kerajaan turut bercadang untuk meneruskan Akta Jerebu Rentas Sempadan yang mana jiran kita Singapura telah meluluskannya sejak 2014 lagi selain mewujudkan kerangka perundangan senada dengan semua negara Asia Tenggara terutamanya Indonesia,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu pertimbangkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur bersesuaian bagi pembuangan bahan-bahan berjadual, selain pindaan undang-undang.
“Ia untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta akibat negatif pencemaran.
“Ini termasuk program pendidikan dan kempen kesedaran untuk memastikan masyarakat faham akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar serta akibat pelanggaran undang-undang,” katanya.
— TAMAT
Add Comment