KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan andaian dan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Parti Warisan Sabah, Assaffal Alian berkaitan dengan isu Ambalat adalah sesuatu yang tidak berasas.

Hajiji berkata demikian bagi mengulas kenyataan Assaffal semasa sidang DUN Sabah baru-baru ini kononnya Kerajaan Pusat telah menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Hajiji berkata, soal isu Ambalat belumpun diputuskan dan ianya masih di dalam perbincangan. Ini telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Justeru, andaian dan tuduhan wakil rakyat Tungku itu tidak berasas. Oleh itu kita akan lihat macam mana perlu kita ambil tindakan jika sekiranya apa yang dikatakannya adalah sesuatu yang tidak betul. Kita tidak boleh mengelirukan rakyat ataupun negeri kita, ini perkara sensitif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Terdahulu, menurut kenyataan media Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada Selasa lalu, secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Mohamad Alamin juga turut menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

TAMAT

Previous articleGRS akan bersama PH hadapi PRN Sabah – Hajiji
Next articleMcDonald’s Malaysia dan KKIP jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here