Home » Kerajaan negeri rancang jadikan Pulau Gaya sebagai destinasi pelancongan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Kerajaan negeri rancang jadikan Pulau Gaya sebagai destinasi pelancongan

Hajiji (tengah) bersama tetemu kehormat lain serta masyarakat Pulau Gaya yang hadir pada majlis itu merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk mengindahkan Pulau Gaya dan menjadikannya sebagai destinasi pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, rancangan itu sudah lama diilhamkan dan kerajaan negeri kini merancang memindahkan penduduk tempatan Pulau Gaya ke tanah besar di sini.

Katanya, Pulau Gaya mempunyai kualiti untuk dijadikan destinasi pelancongan, tetepi dengan kawasan setinggan yang wujud di pulau berkenaan telah membantutkan rancangan itu.

“Pulau Gaya mempunyai sejarah istimewa kepada kita dan ia hanya terletak lima minit  dari bandaraya ini menggunakan bot, kita perlu manfaatkan peluang ini,” katanya pada Program Kembara Kasih Ramadan di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, Pejabat Parlimen Putatan dibawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya turut merancang membina sebuah klinik kesihatan di Pulau Gaya.

“Apa yang penting adalah rakyat di sini perlu terus mengekalkan perpaduan, keselamatan dan kebersihan,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari yang turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 70 murid.

Kemudian, Hajiji bersama Awang Ahmad Sah, Shahelmey, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif serta Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Bahadar Khan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada masyarakat.

TAMAT