TAWAU: Kerajaan negeri berusaha dan mengambil perhatian terhadap keperluan mewujudkan sekolah menengah agama bagi memenuhi permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk di daerah ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi prioriti terhadap keperluan pendidikan modal insan yang semakin berkembang.
Katanya, sekolah menengah agama tersebut akan menjadi realiti memandangkan keadaan ekonomi negeri dan negara ketika ini semakin baik.
“Saya difahamkan tapak untuk membina sekolah tersebut di daerah ini sudah dikenal pasti dan sampai ke pihak atasan yang bertanggungjawab.
“Justeru, saya percaya ia akan dapat diwujudkan tidak lama lagi setelah semua penilaian termasuk dana pembangunannya sudah lengkap,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), di sini hari ini.
Menurutnya, kesedaran terhadap pendidikan agama ketika ini semakin meningkat dan sudah menjadi pilihan utama para ibu bapa.
Katanya, setakat ini, hampir 7,000 murid peringkat rendah yang belajar di SAN, SAR dan Sekolah Rendah Islamiah Tawau.
“Namun, sekolah menengah hanya ada sebuah sahaja di daerah ini iaitu di Sekolah Menengah (SM) Islamiah Tawau dan ia sememangnya tidak dapat memenuhi permintaan yang ramai.
“Hal ini menjadi kebimbangan para ibu bapa yang mahukan anak mereka melanjutkan pendidikan dalam bidang agama di peringkat menengah,” katanya.
Sementara itu, Nizam mengucapkan Syabas dan tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kerana terus memainkan peranan dalam bidang pendidikan di negeri ini.
“Usaha dan peranan yang dimainkan oleh JHEAINS perlu dipuji serta disokong oleh semua pihak terutamanya kerajaan.
“Saya berharap semua pelajar sekolah agama di daerah ini dapat menjadi warganegara yang berilmu dan berbakti kepada agama, negara dan bangsa,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 50 orang peserta daripada daerah Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tungku menyertai pertandingan tersebut.
Add Comment