KOTA KINABALU: Sebuah loji klinker dan simen bersepadu akan dibina di Pinangah Tongod dalam usaha untuk memastikan bekalan dan harga simen di negeri ini lebih konsisten dan murah.
Pelaksanaan projek berkenaan dijalankan menerusi perjanjian usahasama di antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Sri Alam Setia Sdn Bhd. yang akan menubuhkan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd untuk menerajui pembangunan projek itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama itu di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Pada majlis itu, SEDCO diwakili oleh Pengerusi SEDCO Datuk Rubin Balang dan Pengurus Besar SEDCO Haizar R.H Ajaz Nabijan manakala, Pengarah Urusan Sri Alam Setia Michael Kinsuan dan peguam Hassan Murtaza menandatangani bagi pihak syarikat berkenaan.
Loji klinker dan simen yang dibina di Tongod itu bakal menyediakan akses kepada 5,000 tan klinker setahun bersamaan dengan 1.75 juta tan simen setiap tahun.
Dengan keperluan semasa pasaran Sabah membabitkan 1.4 juta tan setahun, projek ini tidak akan hanya memenuhi keperluan semasa tetapi juga akan memastikan bekalan pada masa hadapan.
Projek itu juga bersedia untuk mengubah Tongod, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mengurangkan kemiskinan dengan membawa masuk projek berimpak tinggi untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
Kilang klinker dan simen bersepadu itu dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Selain itu, satu memorandum perjanjian turut ditandatangani di antara Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd dan Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd iaitu pengilang simen terbesar dunia dan di China.
Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd komited untuk menyiapkan pembinaan loji dalam tempoh dua tahun.
Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd Datuk Masiung Banah menandatangani bagi syarikat berkenaan manakala, wakil Pengerusi Sinoma Sun Jian dan Pengarah Urusan Sinoma Liu Tao masing-masing menandatangani kontrak untuk mewakili syarikat Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd.
— TAMAT
Add Comment