SANDAKAN: Pembangunan sektor perhutanan terutamanya ladang hutan di negeri ini tidak sepatutnya dilihat sebagai penyumbang kepada penyah-hutanan (deforestation).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sektor ini dijalankan mengikut pelan pembangunan ladang hutan yang disahkan dan diluluskan oleh Jabatan Perhutanan.
Selain itu, katanya, ia juga mengikut garis panduan yang komprehensif dari sudut perlindungan alam sekitar.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
“Dakwaan bahawa pembangunan sektor perhutanan di Sabah, terutamanya ladang hutan mengakibatkan proses penyah-hutanan yang ketara serta menjejaskan litupan hutan adalah tidak tepat.
“Pihak terbabit sepatutnya membuat penelitian fakta yang lebih cermat dan memahami konteks pengurusan hutan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Negeri Sabah di Rainforest Discovery Centre (RDC) di sini, semalam.
Teks ucapan Hajiji disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang musnah (degraded) dengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan tersebut, sebagaimana termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022 – 2036).
“Dari sudut positif, pembangunan ladang hutan adalah strategi Pengurusan Hutan Mampan (SFM) bagi memulihkan produktiviti hutan yang terosot.
“Ia juga untuk mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli dan memastikan sumber bekalan bahan mentah yang berkekalan,” katanya.
Dalam aspek pengurusan hutan, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan negeri, sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.
Katanya pada masa ini, Sabah masih mengekalkan 64 peratus kawasan litupan hutan negeri. Ini meliputi 3,848,597 hektar (52 peratus) kawasan yang diwartakan sebagai hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.
Menurutnya, bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah penting itu, Sabah telah mewartakan sehingga 1.9 juta hektar (26.4 peratus) sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (Totally Protected Area) bagi mencapai sasaran 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri menjelang tahun 2025.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sedang melakukan usaha rasionalisasi guna tanah bagi tujuan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dan konservasi alam sekitar.
“Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka satu Pelan Induk Hutan- “Statewide Forest Master Plan”, yang menyediakan garis panduan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan berhutan di seluruh Sabah.
“Kerajaan negeri akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif dilindungi dan pada masa sama tidak mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan untuk kesejahteraan rakyat.
“Ini adalah sejajar dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diantaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration Impact Program – FOLUR IP).
Katanya, program itu akan melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan lebih kurang 2.1 juta hektar.
“Ia juga akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, disamping mengekalkan kawasan hutan bernilai tinggi untuk faedah alam sekitar dan pembangunan.
“Program ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah, dan dijangkakan akan memberi faedah kepada lebih kurang 56,000 orang penduduk kawasan luar bandar,” katanya.
Hajiji berkata, sebagai alternatif untuk penjanaan pendapatan baharu, kerajaan negeri telah meneroka inisiatif-inisiatif yang dapat menyokong program konservasi hutan melalui potensi penjanaan hasil pendapatan bukan berasaskan kepada kayu.
“Ini termasuklah aktiviti-aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan ekosistem hutan dan perdagangan karbon melalui pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+),” katanya.
Katanya, salah satunya adalah pembangunan prasarana di RDC Visitor’s Complex ini yang terbukti berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara, yang meminati aktiviti rekreasi bertemakan hutan.
“Pembangunan ini siap dibina pada tahun 2022 dengan bantuan teknikal dan kewangan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Malaysia (NRECC) berjumlah RM7 juta.
“Ia turut menambah nilai usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor rekreasi hutan dengan berkonsepkan pendidikan alam sekitar dan kesedaran awam,” katanya.
Add Comment