TUARAN:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyeru generasi muda Islam di Sabah menjadikan semangat hijrah sebagai budaya hidup dengan terus memperkukuh ilmu pengetahuan, kemahiran, sahsiah dan jati diri demi melahirkan generasi berwibawa yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Beliau berkata, golongan belia merupakan aset penting yang akan menentukan masa depan masyarakat, negeri dan negara, justeru mereka perlu memanfaatkan kemajuan teknologi digital secara bijaksana bagi tujuan pembelajaran, pembangunan kemahiran, keusahawanan serta penyebaran ilmu.
“Pada masa sama, generasi muda perlu menjauhi penyalahgunaan teknologi, penyebaran berita palsu, buli siber dan gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Dengan ilmu, akhlak dan semangat hijrah yang kukuh, generasi muda mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Haji Razali, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah untuk menghayati hikmah penghijrahan Rasulullah SAW yang membentuk sebuah masyarakat bersatu, progresif, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Beliau berkata, semangat hijrah perlu diterjemahkan melalui perubahan sikap, pemikiran, amalan dan tindakan ke arah yang lebih baik, di samping memperkukuh perpaduan serta membina masyarakat yang lebih maju dan berdaya tahan.
Menurut beliau, nilai-nilai yang dizahirkan melalui peristiwa hijrah seperti perancangan, pengorbanan, kesabaran, keberanian dan keyakinan kepada Allah SWT perlu terus dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Pada masa sama, Hajiji mengingatkan generasi muda supaya meninggalkan sikap negatif seperti malas, tidak berdisiplin, mementingkan diri sendiri, tidak amanah dan mudah berputus asa.
“Untuk menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini, setiap individu perlu mempunyai matlamat yang jelas serta berusaha bersungguh-sungguh mencapainya.
“Amalan menuntut ilmu, membaca, menghormati ibu bapa, membantu masyarakat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT perlu menjadi sebahagian daripada cara hidup,” katanya.

























Add Comment