KOTA KINABALU:Program Tunas Niaga (PROTUNe) terus menjadi platform penting dalam memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar Sabah menerusi pendedahan awal kepada dunia perniagaan, sekali gus melahirkan generasi muda yang kreatif, berdaya saing dan berjiwa usahawan.
Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Redonah Bahanda, berkata sejak diperkenalkan pada 1997, program itu berjaya melahirkan ramai pelajar yang memiliki kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan kewangan serta keyakinan untuk menceburi bidang keusahawanan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaan program, peserta diberi peluang mengendalikan syarikat masing-masing, membangunkan produk, merancang strategi pemasaran, menyediakan laporan tahunan serta membentangkan prestasi syarikat di hadapan panel penilai profesional.
“PROTUNe bukan sekadar pertandingan untuk mencari pemenang, tetapi merupakan platform membentuk sahsiah, integriti, disiplin dan daya tahan pelajar agar mereka bersedia menjadi pencipta peluang pekerjaan serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Sabah 2025, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, di Suria 7 Ballroom, Suria Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan), Haji Azrul Haji Ahmad; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting; serta Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Yahyah Sidek.
Sebanyak 15 syarikat pelajar dari seluruh Sabah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir konvensyen selepas melalui pelbagai proses penilaian, termasuk pembentangan laporan tahunan syarikat di hadapan panel hakim daripada Kumpulan SEDCO dan agensi pembimbing.
Redonah berkata, Sabah kekal antara negeri yang meneruskan pelaksanaan PROTUNe walaupun program itu tidak lagi menerima peruntukan di peringkat Persekutuan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pendidikan keusahawanan.
Beliau turut berharap lebih banyak syarikat korporat dan pemain industri tampil menyokong PROTUNe melalui penajaan, bimbingan mentor, perkongsian kepakaran serta pendedahan industri bagi memperluaskan peluang pembangunan usahawan muda.
“Melahirkan generasi usahawan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak agar lebih ramai anak muda Sabah bersedia menjadi pemimpin ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

























Add Comment