Home » Patriotisme Sabah seiring semangat cintakan Malaysia:Masidi
Berita GRS Politik

Patriotisme Sabah seiring semangat cintakan Malaysia:Masidi

PELANCARAN: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyempurnakan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU:Semangat cintakan Sabah tidak pernah bercanggah dengan kesetiaan kepada Malaysia, sebaliknya kedua-duanya saling melengkapi sebagai identiti yang membentuk perpaduan negara.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata kecintaan terhadap Sabah secara langsung turut mencerminkan kecintaan kepada Malaysia kerana negeri ini merupakan sebahagian daripada Persekutuan.

“Apabila kita bercakap mengenai Sabah, kita juga bercakap mengenai Malaysia. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana Sabah adalah sebahagian daripada negara ini,” katanya selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah di Menara Kinabalu, di sini.

Mengulas tanggapan bahawa sentimen kenegerian di Sabah berpunca daripada persepsi negeri ini ketinggalan dari segi pembangunan, Masidi mengakui persepsi tersebut mungkin mempunyai asas tertentu.

Namun, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak hanya menyalahkan pihak lain, sebaliknya bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan Sabah dan negara.

“Kita jangan sekadar mengeluh. Tunjukkan apa yang mampu kita lakukan supaya kita menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

“Budaya saling menyalahkan tidak membawa manfaat. Sebaliknya, setiap rakyat perlu bertanya apakah sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan Malaysia,” katanya.

Mengulas cadangan supaya Sabah mencontohi model pembangunan Sarawak, Masidi berkata setiap negeri mempunyai keutamaan, cabaran dan keperluan pembangunan yang berbeza.

Menurutnya, dasar pembangunan Sabah dirangka berdasarkan keperluan serta aspirasi rakyat negeri ini dan tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan negeri lain.

“Sabah dan Sarawak mempunyai keunikan masing-masing. Apa yang sesuai dilaksanakan di satu negeri tidak semestinya sesuai di negeri yang lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus merangka dasar dan pelan pembangunan yang bersesuaian dengan keperluan rakyat Sabah bagi memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan.

Mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya rakyat mengamalkan budaya menegur secara membina, Masidi berkata kritikan merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap kritikan perlu disertai cadangan penyelesaian yang mampu membawa perubahan positif.

“Kita perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Jangan hanya mengkritik tanpa mengemukakan idea atau cadangan yang membina,” katanya.

Masidi turut mengajak rakyat Sabah menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan, patriotisme dan kecintaan kepada negara.

Menurutnya, isu seperti gangguan bekalan air dan elektrik tidak seharusnya melemahkan semangat patriotisme, sebaliknya dijadikan dorongan untuk bersama-sama membangunkan Sabah dan Malaysia.

Beliau turut berkongsi pengalaman melihat masyarakat di kawasan pedalaman Indonesia yang tetap berbangga mengibarkan bendera negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Semangat cintakan negara perlu terus dipupuk tanpa mengira apa jua cabaran yang kita hadapi,” katanya.