Home » Kerajaan Negeri prihatin, 362 mangsa banjir Tawau terima bantuan kewangan
Berita GRS Politik

Kerajaan Negeri prihatin, 362 mangsa banjir Tawau terima bantuan kewangan

SUMBANGAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan sumbangan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) kepada mangsa banjir Tawau menerusi Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, sempena lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Cinta Mata, Tawau. Turut kelihatan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Datuk Zainudin Aman, Datuk Lo Su Fui dan Datuk Hajah Diyanah Abdullah.

TAWAU:Seramai 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Tawau baru-baru ini menerima bantuan kewangan berjumlah RM30,600 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) bagi meringankan beban mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata setiap KIR menerima sumbangan sebanyak RM300 sebagai bantuan segera susulan bencana yang melanda daerah itu.

Menurut beliau, sumbangan berkenaan disampaikan menerusi Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said, bagi pihak kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat yang terjejas akibat bencana dan berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus sepanjang operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir.

Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta semua agensi berkaitan telah memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara sepanjang tempoh bencana.

Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 KIR membabitkan 362 mangsa, terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi.

Kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih.

Turut hadir pada majlis itu Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Datuk Zainudin Aman, Datuk Lo Su Fui serta Datuk Hajah Diyanah Abdullah.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment