KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memacu kecemerlangan pendidikan serta melahirkan modal insan yang berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri kekal komited meningkatkan prasarana pendidikan dan kebajikan warga sekolah di seluruh Sabah bagi memastikan pendidikan terus menjadi pemangkin utama pembangunan negeri.
“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan pendidikan kekal menjadi asas kepada pembangunan modal insan dan kemajuan Sabah,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, pada Konvensyen Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Labuan Ke-50, di sini, Isnin.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan bagi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.
Menurut beliau, pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 terus diteruskan bagi meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) atas kejayaan menganjurkan konvensyen itu, yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperkukuh kepimpinan pendidikan serta berkongsi idea dan amalan terbaik dalam pengurusan sekolah.
Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik atas kejayaan Sabah mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus menjadi pencapaian akademik terbaik dalam sejarah negeri.
Beliau berkata, peningkatan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 turut mencerminkan komitmen tinggi pengetua, guru dan seluruh warga sekolah dalam memperkukuh mutu pendidikan.
“Para pengetua dan guru merupakan nadi utama di sebalik setiap kejayaan yang dicapai dalam sistem pendidikan negeri,” katanya.
Mengulas tema konvensyen, “Pengetua Pemacu Lonjakan Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035”, Hajiji berkata pengetua bukan sekadar pentadbir sekolah, malah berperanan sebagai pemimpin strategik dalam membentuk masa depan pendidikan negara.
Menurut beliau, RPM 2026–2035 menjadi kompas strategik bagi memperkukuh sistem pendidikan negara supaya kekal relevan, inklusif dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan pendidikan kekal sebagai hak asasi setiap rakyat, di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara,” katanya.

























Add Comment