Home » Perkasa pengunaan UAV, perhebat operasi kawalan keselamatan di ESSCOM – Hajiji
Politik

Perkasa pengunaan UAV, perhebat operasi kawalan keselamatan di ESSCOM – Hajiji

CENDERAHATI: Abidin mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cenderahati kepada Mugutan disaksikan Victor dan Jamaluddin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyarankan agar penggunaan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) diperkasa bagi memantapkan lagi penubuhan dan peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya penubuhan ESSCOM selaku peneraju keselamatan dalam mengkordinasi pengoperasian kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dapat dioptimumkan terutama dari segi keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, kawasan ESSZone meliputi 10 daerah bermula dari Kudat sehingga ke Sandakan dan keadaan ini amat mencabar.

“Penggunaan UAV ini bukan sahaja akan mengurangkan risiko kepada pasukan keselamatan yang bertugas tetapi juga meningkatkan pengawasan kawasan udara khususnya di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Hazani Ghazali, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Deputi Komisioner  Shahurinain Jais, Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM Dr. Jamaluddin Mohd. Ali, Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk M Chandra dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Mugutan Vanar.

Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa ESSZone dan bertanggungjawab kepada ESSCOM berkata penggunaan aset dan teknologi baharu seperti UAV akan memperhebat lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di ESSZONE.

Katanya teknologi ini akan membantu memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di sempadan dan perairan negara bagi menangani sebarang keadaan atau isu tidak diingini.

“Keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan petugas di ESSCOM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan
peruntukan sebanyak RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti kuarters petugas ESSCOM di Lahad Datu.

“Terima kasih dengan keprihatinan ini dan semoga inisiatif berkenaan akan menambah semangat petugas di ESSCOM untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam mempertahankan kedaulatan negara”, katanya.

Sementara itu, semasa bercakap berkenaan kes tuntutan Sulu, beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi The Hague yang memihak kepada Malaysia adalah kemenangan besar kepada kerajaan Malaysia amnya dan Sabah khasnya.

Katanya keadaan ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti berusaha melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara. 

“Demikian juga kerajaan negeri, kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak yang cuba merosakkan hak dan kedaulatan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji juga meminta agar semua pengamal media mendidik masyarakat melalui penulisan berita untuk menjadi warga yang cintakan negara serta memiliki jati diri yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, lebih-lebih lagi untuk negeri ini.

“Hakikatnya, tiada siapa boleh menafikan kepentingan peranan pihak media dalam mendidik masyarakat melalui penulisan di media massa. 

“Pepatah ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’ amat signifikan kerana melalui penulisan, media dapat mengubah pemikiran masyarakat, malah kekuatan mata pena boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara,” katanya.

TAMAT