Home » Penduduk kecewa kemudahan tong sampah rosak – PPM Karamunting
Politik

Penduduk kecewa kemudahan tong sampah rosak – PPM Karamunting

ROSAK: Chew meninjau antara lokasi-lokasi yang menjadi permasalahan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

SANDAKAN: Penduduk sekitar Bandar Ramai-Ramai, Leila dan Nam Tung di si ni kecewa dengan pihak berkuasa berkaitan kerana tidak menggantikan atau menyelenggara tong sampah berlubang, berkarat dan usang yang terdapat di kawasan itu.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penghiasan Bandar yang diadakan baru-baru ini, pihaknya bersama kakitangan Unit PPM Karamunting turun padang meninjau sendiri aduan-aduan yang disampaikan penduduk.

“Selepas membuat tinjauan, saya telah menghantar surat kepada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Jawatankuasa Penghiasan Bandar untuk meminta penjelasan apa usaha yang boleh dilakukan mereka untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Sekian lama penduduk berasa tidak puas hati dengan pihak berkuasa kerana mereka turut membayar cukai pintu dan perkhidmatan, sekali gus membolehkan penduduk layak menikmati kemudahan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, penduduk juga menjelaskan MPS mempunyai peruntukan yang banyak tetapi tidak digunakan untuk kesejahteraan rakyat dan mengindahkan kawasan bandar berkenaan.

Katanya, penduduk juga sedar bahawa bangunan yang mereka diduduki sudah lama dan seolah-olah tidak lagi dipedulikan.

“Saya akan sentiasa membuat tindakan susulan mengenai perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa nanti agar satu keputusan tuntas dapat dicapai dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, pada awal Julai lalu, beliau telah mengarahkan Pemaju Mukim UPPM Keramunting Ricky Voon turun padang meninjau dahan-dahan kayu yang menyentuh kabel elektrik di Jalan Cecily North, berdekatan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Sung Siew, Sandakan.

Katanya, berikutan aduan itu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan untuk memotong semua dahan kayu berkenaan baru-baru ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak berkaitan yang turun padang segera menyelesaikan masalah ini,” katanya.

— Yap Siong Han