Home » Pupuk sikap mahu belajar sepanjang hayat dalam diri graduan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pupuk sikap mahu belajar sepanjang hayat dalam diri graduan

TAHNIAH: Mohd Arifin menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan sempena majlis Konvokesyen Institut Latihan Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Ke-34.

KOTA KINABALU: Golongan graduan perlu memiliki sikap pembelajaran sepanjang hayat terutama dalam menghadapi cabaran industri yang dipacu oleh teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kemahiran yang diperoleh semasa latihan atau pengajian perlu ditingkatkan dan dikembangkan melalui latihan berterusan, kursus pembelajaran secara bersemuka mahupun dalam talian dan juga pembelajaran kendiri.

Katanya, sikap yang positif perlu dibentuk bagi meningkatkan nilai tambah dalam diri untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Menurutnya, sikap proaktif, kesungguhan, kerjasama dan keinginan untuk terus belajar mampu membantu untuk berjaya dalam kehidupan mahupun alam pekerjaan.

“Sikap yang positif ini juga memainkan peranan penting dalam membina hubungan profesional dan memenangi kepercayaan majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Konvokesyen Institut Latihan Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Ke-34 di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, JPSM melalui ILTP memainkan peranan dan mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Menurutnya, pihak berkenaan juga sentiasa meneruskan usaha dalam melahirkan modal insan yang kompetitif dan mapan dalam pelbagai bidang.

“Setiap tenaga pengajar adalah tunjang utama dan memainkan peranan penting dalam membekalkan pendidikan kemahiran yang inklusif kepada para pelatihnya ke arah pembangunan masyarakat dan ekonomi negeri Sabah.

“Kecemerlangan para graduan kita tidak akan tercapai tanpa bimbingan, tunjuk ajar, dan sokongan padu daripada tenaga pengajar.

“Pengorbanan masa, tenaga, dan dedikasi yang dicurahkan dalam mendidik dan melatih para pelatih kita adalah sesuatu yang amat dihargai,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0 ini, keperluan terhadap tenaga kerja yang cekap dan berkualiti semakin mendesak.

Sehubungan itu katanya, pengiktirafan yang diberikan kepada graduan hari ini adalah bukti keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Seramai 234 graduan diraikan sempena dengan majlis konvokesyen itu termasuk 14 orang yang menerima Anugerah Pelatih Terbaik dan dua orang daripada mereka bakal menerima Anugerah Pelatih Cemerlang bagi sesi pelatih tamat latihan Disember 2023 dan Jun 2024.


— Siti Aisyah Narudin