TAWAU: Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah komited mengadakan pelbagai program bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar di negeri ini.
Pengerusi Focal Person Kebangsaan PIBKS Sabah Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam memastikan gred sekolah di Sabah meningkat.
Katanya, setiap tahun, PIBKS terlibat membantu pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menjalankan program-program termasuklah mengadakan kelas tambahan.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan semua sekolah di negeri ini menunjukkan peningkatan dan pelajarnya boleh bersaing khususnya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
“Agenda kami adalah membantu sektor pendidikan di Sabah dari segi akademik, sahsiah dan pembangunan kokurikulum termasuk di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.
Menurutnya, sejak tertubuhnya PIBKS di negeri ini pada tahun 2020, banyak inisiatif yang dilaksanakan dan secara tidak langsung telah membantu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
“Kami akan berusaha mencari kaedah-kaedah baharu bagi membantu sektor pendidikan di negeri ini seiring dengan perkembangan teknologi.
“PIBKS juga sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan dunia dari semasa ke semasa supaya terus memainkan peranan membantu pelajar di Sabah,” katanya.
Mohammad Arif turut berbangga dengan pencapaian sektor pendidikan di Sabah ketika ini yang semakin meningkat dan boleh bersaing dengan negeri lain.
“Saya mengharapkan semua focal person yang dilantik di setiap daerah mampu menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.
“Sebagai ketua focal person di Sabah akan sentiasa memastikan PIBKS terus berfungsi mengikut perancangan dan memainkan peranan penting membantu kecemerlangan pelajar,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment