Home » Sabah kaji guna plastik untuk asfalt jalan raya – Arifin
Uncategorized

Sabah kaji guna plastik untuk asfalt jalan raya – Arifin

Dr Mohd Arifin mendedahkan kajian itu merupakan salah satu kandungan MoA yang memfokuskan kepada kerjasama antara KSTI dan Petronas dalam hal berkaitan sains, teknologi dan inovasi.

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) sedang mengkaji penggunaan plastik untuk asfalt jalan raya.


Menterinya Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata KSTI sedang menjalankan kajian mengenai inovasi itu.


“Kami sedang membuat kajian dan mencari tapak untuk menguji inovasi ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) tertutup antara KSTI dan Petronas Technology Venture Sdn Bhd di Magellan Sutera Harbour, di sini, Khamis.


Dr Mohd Arifin mendedahkan kajian itu merupakan salah satu kandungan MoA yang memfokuskan kepada kerjasama antara KSTI dan Petronas dalam hal berkaitan sains, teknologi dan inovasi.


“Selain itu adalah gentian optik maya,” katanya sambil menambah pemeteraian MoA itu adalah susulan lawatannya ke pusat penyelidikan Petronas baru-baru ini.


“Kita lihat pusat penyelidikan Petronas sangat bagus untuk anak muda kita dan juga pegawai dan kakitangan kita di Sabah untuk dilatih di sana.


“Kita mohon agar pegawai atau saintis dari pusat penyelidikan ini juga dapat ditempatkan atau datang ke Sabah khususnya kepada Kementerian saya.

Semoga kerjasama ini dapat diperluaskan dan memberi manfaat kepada Sabah,” katanya.


Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Phoong Jin Zhe, Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Datuk Bacho Pilong, Ketua Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab dan PFLNG Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Roshazli.

Larry Ralon