KOTA MARUDU: Setiap umat diminta sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri bagi memastikan mampu berdepan perkembangan dunia yang semakin mencabar hari ini dan akan datang.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Redonah Bahanda berkata, menambah baik keupayaan diri juga mempunyai kaitan secara langsung dengan membaiki kualiti hidup ke arah yang lebih baik.
Menurut beliau, peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sendiri mempunyai pengajaran yang sangat besar iaitu mengajak umatnya untuk sentiasa berusaha beralih kepada sesuatu yang lebih baik demi kehidupan yang lebih sejahtera.
“Kita semua perlu mengambil aspirasi Hijrah ini untuk menganjak diri, keluarga, masyarakat dan negara ke suatu keadaan yang lebih baik lagi.
“Malah berbekalkan semangat hijrah jugalah kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan terhadap kualiti hidup rakyat di bandar dan di luar bandar.
“Ini termasuk usaha menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan sosial yang merupakan kunci utama menjamin keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri dan negara yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Matunggong di Dewan Mini Urusetia Daerah Kecil, kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Sambutan Maal Tasyriff Jahamin serta jawatankuasa.
Tokoh Maal Hijrah peringkat Daerah Kecil Matunggong diberikan kepada Syamsuddin Abdullah manakala Anugerah Khas Maah Hijrah diberi kepada Musdin Samsapil.
Redonah berkata, sebagai rakyat Sabah, setiap individu memikul tanggungjawab mengekalkan keharmonian antara satu sama lain meskipun wujud kepelbagaian latar belakang selain sikap bertoleransi, saling memaafkan dan menyantuni.
“Kita wajib menjunjung dan berpegang teguh kepada perlembagaan serta undang-undang negara dan juga undang-undang tubuh negeri, kerana ia merupakan kunci keadilan dan penyatuan.
“Ini juga merupakan hasrat ulung daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW, iaitu memaknakan negara dengan undang-undang yang adil dan pematuhan terhadapnya,” katanya.
Tambah Redonah, dalam meningkatkan keamanan dan kemajuan negara, setiap rakyat perlu saling memberikan sumbangan kepada negeri, negara dan ummah.
“Nikmat sebenar kehidupan itu ialah memberi, dan sumbangkanlah sesuatu, walaupun kecil tetap memberi kesan kepada pertumbuhan dan kemajuan umat seluruhnya.
“Sambutan tahun baharu kalendar Islam itu juga perlu dijadikan sebagai medan membangunkan komuniti harmoni, saling mendukung antara satu sama lain, memupuk rasa persaudaraan dan kerjasama dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata, ibrah peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW mengajak kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang.
“Marilah kita berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT, beroleh keberkahan dan menjadi negara ‘baldatun toyyibah wa rabbun ghafur’.
“Maal Hijrah mengajak kita untuk menginsafi perjuangan dan pengorbanan baginda Nabi SAW dan para sahabat baginda. Sirah junjungan mengajar kita supaya sentiasa tabah, cekal dan bersemangat dalam kehidupan ini,” katanya.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment