TAWAU: Warga pendidik di negeri ini disaran supaya meningkatkan ilmu pengetahuan menerusi bidang teknologi maklumat (IT) dan pendigitalan selari era masa kini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penguasaan bidang IT memudahkan warga pendidik melahirkan modal insan yang berdaya saing.
Katanya, kerajaan negeri terus komited dan mengeluarkan peruntukan yang besar dalam memperkasakan bidang pendidikan di Sabah.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan pendidikan disediakan bagi memperkasakan prestasi pendidikan di negeri ini supaya pelajar mampu menguasai bidang ilmu baharu termasuk IT.
“Setiap tahun Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah memberikan peruntukan bagi meningkatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di semua sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS), di sini, semalam.
Nizam mengajak semua masyarakat bekerjasama tanpa mengira latar belakang, perbezaan pendapat dan fahaman agama demi menyediakan anak-anak murid kita dengan pendidikan yang berkualiti.
“Harapan kita disandarkan kepada modal insan yang ada ketika ini untuk menerajui dan membawa pendidikan terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai majlis ini, katanya, MAPenS adalah simbolik bagi meraikan semua guru atas usaha, komitmen dan dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa kita khasnya di negeri ini.
“Majlis ini juga sekali gus menggambarkan pengiktirafan kepada semua guru atas jasa bakti dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai demi membangunkan anak bangsa kita,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin ketika mengulas kejadian kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Abaka berkata, pihaknya memastikan sesi pembelajaran di sekolah berkenaan berjalan seperti biasa.
Katanya, setakat ini kebakaran di SK Abaka yang melibatkan kelas tahap dua belum dikenal pasti puncanya.
“Namun, di peringkat JPNS terus memberikan komitmen bagi memastikan anak murid di sekolah berkenaan mengikuti sesi pembelajaran dengan teratur dan tidak terganggu.
“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau juga sudah mengenal pasti beberapa buah bilik khas yang boleh digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu berlangsung,” katanya.
— Hamzah S
Add Comment