Home » 23 atlet Sabah pamer prestasi cemerlang di Sukan Asia Aichi-Nagoya
Berita GRS • Politik

23 atlet Sabah pamer prestasi cemerlang di Sukan Asia Aichi-Nagoya

SIDANG MEDIA: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika ditemui media selepas menjadi tetamu program Kami Bah Ini (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kota Kinabalu, Isnin.

KOTA KINABALU: Seramai 23 atlet Sabah yang mewakili Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun mempamerkan prestasi membanggakan, sekali gus menyumbang kepada pencapaian keseluruhan kontinjen negara.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kejayaan kontinjen Malaysia meraih sembilan pingat emas bukan sahaja melepasi sasaran awal enam emas, malah mencerminkan komitmen dan prestasi cemerlang atlet negara, termasuk atlet kelahiran Sabah.

Menurutnya, antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan anak jati Tambunan, Adeola Fay Robert, yang menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara menerusi acara karate.

“Tiga pemain hoki dari Sabah serta atlet padel negara, Christian Didier Chin, masing-masing turut menyumbang pingat perak.

“Tidak ketinggalan atlet Sabah lain yang bertanding dalam pelbagai acara dan turut memainkan peranan memperkukuh pencapaian keseluruhan kontinjen negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menjadi tetamu program Kami Bah Ini (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, Isnin.

Nizam berkata, pencapaian berkenaan membuktikan atlet Sabah mempunyai bakat, kesungguhan dan komitmen tinggi untuk bersaing serta mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) akan terus menyediakan ruang dan peluang bagi memperkasa pembangunan bakat sukan di negeri ini.

“Kita mempunyai ramai anak Sabah yang berbakat dan mempunyai kesungguhan untuk berjaya. Justeru, kementerian akan terus berusaha menyediakan peluang dan sokongan supaya bakat mereka dapat dikembangkan dan mampu menyerlah pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun, dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan), Noorman Ramlan.