Home » Sabah sasar beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi:Hajiji
Berita GRS Politik

Sabah sasar beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi:Hajiji

GENERASI STI: Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Rina Jainal yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bergambar bersama pasukan SK Membedai pada Program Pembudayaan STI Bersepadu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rabu.

KOTA KINABALU:Sabah mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi berupaya memahami, mencipta penyelesaian, menghasilkan nilai serta membangunkan inovasi yang memenuhi keunikan dan keperluan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penguasaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi digital, bioteknologi, teknologi angkasa dan tenaga boleh baharu kini membentuk semula cara manusia belajar, bekerja dan menjalankan perniagaan.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh hanya sekadar melihat atau menjadi pengguna teknologi semata-mata.

“Kita perlu membangunkan generasi yang mampu memahami teknologi, menghasilkan penyelesaian, mencipta nilai dan membina inovasi yang sesuai dengan keunikan serta keperluan negeri kita sendiri.

“Sebab itu, kita mahu menukar senario daripada sekadar ‘pengguna teknologi’ kepada ‘pencipta teknologi’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Pembudayaan STI Bersepadu di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, Rabu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Rina Jainal.

Hajiji berkata, penguasaan STI juga penting bagi menyokong pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang AI, teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi.

“Kita tidak mahu rakyat Sabah ketinggalan dalam arus transformasi digital yang sedang mengubah landskap pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi pada masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri menerusi kekayaan biodiversiti dan sumber semula jadi, kepelbagaian budaya serta potensi ekonomi yang luas untuk diperkasakan melalui penyelidikan dan inovasi.

Antara bidang yang berpotensi diberi tumpuan ialah pertanian pintar, keselamatan makanan, biodiversiti, tenaga hijau, pengurusan sumber air, kesihatan, teknologi marin, pelancongan berasaskan sains dan ekonomi digital.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi mempersiapkan generasi masa depan menghadapi perubahan dan cabaran teknologi, termasuk perkembangan pesat AI.

Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan — khususnya menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta UMS — perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembudayaan STI dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.

“Lebih banyak program perlu dibawa ke sekolah dan komuniti, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, supaya peluang mendapat pendedahan kepada sains dan teknologi tidak hanya tertumpu di bandar,” katanya.

Beliau berharap program berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak jaringan kerjasama antara sekolah, universiti, agensi kerajaan, penyelidik, industri dan komuniti menerusi pelaksanaan projek, latihan, pertandingan, bimbingan, penyelidikan bersama serta pemindahan ilmu.

Hajiji turut mahu hasil inovasi yang dibangunkan dapat dikomersialkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai sektor, termasuk bagi meningkatkan produktiviti pertanian serta memudahkan urusan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah.

“Setiap usaha yang kita lakukan hari ini untuk mendekatkan generasi muda kepada STI merupakan satu pelaburan untuk masa depan Sabah,” katanya.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment