KOTA KINABALU:Penguasaan kemahiran dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan kraftangan mampu membuka peluang keusahawanan serta meningkatkan pendapatan keluarga, khususnya dalam kalangan wanita dan masyarakat luar bandar.
Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag, berkata pembangunan kemahiran bukan sekadar melengkapkan individu dengan pengetahuan, malah menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan usahawan tempatan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti.
Menurutnya, program latihan kemahiran anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat menerusi penguasaan kemahiran praktikal yang berpotensi dijadikan sumber pendapatan.
“Kemahiran yang dimiliki pada hari ini bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Mini Konvokesyen Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Insan KEMAS Daerah Tuaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Rabu.
Juliah, yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, berkata pembangunan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing merupakan antara elemen penting dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan modal insan tidak seharusnya tertumpu kepada kemahiran dan penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, nilai murni serta kekuatan kerohanian.
Menurutnya, keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan akhlak penting bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja mampu berdikari dari segi ekonomi, malah turut menyumbang kepada pembentukan keluarga sejahtera serta komuniti harmoni.
Sehubungan itu, Juliah menggalakkan peserta program memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk meneroka peluang perniagaan, dan berani mengambil langkah pertama menceburi bidang keusahawanan.
Beliau turut menyarankan penggunaan platform digital bagi memperluas pasaran produk dan perkhidmatan — selain mengutamakan kreativiti, inovasi serta kualiti bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran.
“Majlis ini bukan pengakhiran perjalanan menimba ilmu, sebaliknya menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang untuk peserta meningkatkan kemahiran, membina kerjaya dan mencapai kejayaan dalam bidang diceburi,” katanya.
Juliah berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti program KEMAS dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan taraf hidup keluarga, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

























Add Comment