KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi hab pertama pembangunan loji tenaga nuklear terapung atau Floating Nuclear Power Plant (FNPP) di Malaysia, sebagai langkah strategik memperkukuh bekalan elektrik dan memenuhi keperluan tenaga negeri pada masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata Sabah mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi dan garis pantai yang luas — sekali gus menjadikannya lokasi berpotensi untuk meneroka penggunaan teknologi berkenaan.
Beliau, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Sabah, berkata FNPP wajar dipertimbangkan sebagai alternatif kepada loji nuklear konvensional di daratan, kerana teknologi itu berpotensi menawarkan fleksibiliti pembangunan serta tempoh pembinaan yang lebih singkat.
Menurutnya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan boleh meneroka kerjasama bagi menilai kebolehlaksanaan cadangan berkenaan — termasuk membawanya untuk perbincangan menerusi mekanisme berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keupayaan bekalan tenaga elektrik di negeri ini semakin meruncing dan masih jauh daripada mengimbangi kemajuan utiliti di Semenanjung.
“Sabah perlu bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031, selain mengurangkan kebergantungan kepada gas asli dan diesel yang terdedah kepada ketidaktentuan pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan.
Masiung berkata perkembangan geopolitik di Selat Hormuz serta ketidaktentuan pasaran tenaga global memperlihatkan kepentingan merangka strategi jangka panjang bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik negara.
Menurutnya, kebergantungan berterusan kepada bahan api fosil perlu dinilai semula berikutan kekangan sumber, turun naik harga dan keperluan mengimport sebahagian bekalan tenaga dari luar negara.
Beliau berpandangan pembangunan FNPP berpotensi menjadi sebahagian daripada usaha mempelbagaikan sumber penjanaan elektrik, di samping menyokong agenda pengurangan pelepasan karbon.
Bagaimanapun, Masiung mengakui sebarang cadangan pembangunan loji tenaga nuklear memerlukan penelitian menyeluruh dari aspek keselamatan, kesesuaian lokasi, kesan terhadap alam sekitar, kos pembangunan serta pematuhan kepada keperluan kawal selia yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan berkenaan dapat dibincangkan menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, bagi membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dalam perancangan dan pembangunan sektor tenaga negara.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan menyatakan Sabah dan Semenanjung Malaysia antara lokasi yang berpotensi dipertimbangkan bagi pembangunan loji tenaga nuklear dalam dekad akan datang — sekiranya negara membuat keputusan untuk meneruskan pembangunan teknologi berkenaan.

























Add Comment