KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, yang bakal bersara wajib pada 11 November ini selepas lebih 32 tahun menabur bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Penghargaan itu disampaikan Hajiji ketika menerima kunjungan hormat perpisahan Jauteh di Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji berkata, khidmat bakti Jauteh sepanjang menerajui PDRM Kontinjen Sabah, khususnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negeri sentiasa terpelihara, amat dihargai.
Beliau turut berharap hubungan baik dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan PDRM dapat terus diperkukuh bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.
Sementara itu, Jauteh merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji atas sokongan berterusan dalam memperkukuh kemudahan prasarana dan logistik PDRM Kontinjen Sabah.
Menurutnya, antara sumbangan penting Kerajaan Negeri ialah penyediaan tapak tanah bagi pembinaan dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Kalabakan dan Nabawan, yang telah melalui majlis pecah tanah di kedua-dua lokasi.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan khas bagi menaik taraf 20 pondok polis di seluruh Sabah bagi meningkatkan kemudahan prasarana dan logistik pasukan.
“Kerjasama erat Kerajaan Negeri turut membantu PDRM menangani pelbagai isu keselamatan serta mempercepat penyediaan kemudahan bagi meningkatkan keupayaan pasukan di Sabah.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan terima kasih bagi pihak PDRM Sabah kepada Ketua Menteri atas sokongan penuh yang diberikan sepanjang saya berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya.
Jauteh berkata, sokongan Kerajaan Negeri dalam pembangunan infrastruktur keselamatan turut membantu memperkukuh keupayaan PDRM untuk memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat. Beliau dijadual menamatkan perkhidmatan pada 11 November ini selepas lebih tiga dekad berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.

























Add Comment