KOTA KINABALU:Semua kementerian, jabatan, badan berkanun dan agensi Kerajaan Negeri digesa memperkukuh kerjasama dalam penyelarasan data serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan, bagi memastikan bantuan kepada golongan sasar disalurkan secara lebih sistematik, berkesan dan menyeluruh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penyelarasan antara agensi perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pertindihan bantuan, ketidakselarasan maklumat serta kerenah birokrasi yang boleh membebankan rakyat.
Menurutnya, antara cabaran yang masih dihadapi ialah pelaksanaan program pembasmian kemiskinan oleh kementerian, jabatan dan agensi berdasarkan perancangan masing-masing, tanpa penyelarasan yang mencukupi.
“Setiap agensi mempunyai mandat dan tanggungjawab penting, namun rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan urusan birokrasi berulang atau maklumat bantuan yang tidak selaras.
“Tanggungjawab menyelaras agenda pembasmian kemiskinan negeri saya mandatkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Bagaimanapun, kerjasama menyeluruh semua agensi masih perlu dipertingkatkan — khususnya dalam perkongsian data penerima, maklumat bantuan yang disalurkan serta pelaporan keberhasilan intervensi,” katanya ketika merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, antara inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0, di sini, hari ini.
Hajiji berkata kejayaan menoktahkan status miskin tegar bagi 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti sebagai angka tetap atau locked figure (LF) menerusi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2023 membuktikan kepentingan kerjasama bersepadu antara agensi.
Menurutnya, sasaran berkenaan berjaya dicapai pada 31 Julai 2024 — iaitu dalam tempoh kurang setahun — hasil perkongsian data, pengesahan di lapangan, penyelarasan bantuan serta pelaksanaan intervensi yang bersesuaian.
Pencapaian itu melibatkan 22,510 KIR dan 94,315 ahli isi rumah, menjadikan keseluruhan 116,825 individu yang berkaitan dengan isi rumah terbabit.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penoktahan status miskin tegar tidak bermakna semua keluarga berkenaan secara automatik keluar daripada kemiskinan.
“Status sosioekonomi sesebuah isi rumah boleh berubah akibat kehilangan pekerjaan, penyakit, pertambahan tanggungan, bencana atau perubahan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
“Justeru, pelantikan Sekretariat SMJ sebagai penyelaras bukan bertujuan mengambil alih mandat kementerian atau agensi, sebaliknya memastikan setiap program dilaksanakan secara terselaras dan impaknya dapat dikenal pasti,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata kaedah penyimpanan, perkongsian dan penyelarasan data antara agensi perlu diperkukuh — bagi memastikan maklumat yang digunakan adalah tepat, konsisten serta dapat dimanfaatkan di semua peringkat pentadbiran.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memperluas penggunaan data eKasih dan Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai rujukan rasmi bagi mengenal pasti pertindihan bantuan, jurang liputan serta keperluan tindakan susulan terhadap setiap isi rumah.
Beliau turut mahu Program MySMJ Profiling — yang menempatkan pegawai di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) — dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan pengesahan data kemiskinan di lapangan.
“Usaha ini penting untuk memahami latar belakang keluarga, kemampuan bekerja, keperluan latihan serta perubahan status sosioekonomi mereka.
“Kita mahu setiap keputusan dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, bukan andaian semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata sebanyak 54 agensi pemberi bantuan daripada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak industri kini terlibat dalam pelaksanaan 134 intervensi bantuan, merangkumi lima teras Program Menoktahkan Miskin Tegar.
Lima teras berkenaan ialah perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan kewangan, serta keusahawanan dan latihan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan jumlah program, peruntukan dan bantuan yang besar tidak semestinya mencerminkan keberkesanan sebenar usaha pembasmian kemiskinan.
“Jika kita hanya melaporkan bilangan bantuan, bilangan majlis penyerahan atau jumlah peruntukan, kita belum menjawab persoalan yang lebih besar — iaitu berapa ramai yang benar-benar berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Rakyat tidak hidup dengan statistik program. Mereka memerlukan pendapatan, makanan, tempat tinggal, pendidikan dan harapan untuk masa depan,” tegasnya.
Hajiji berkata kejayaan program pembasmian kemiskinan perlu diukur berdasarkan perubahan nyata terhadap taraf hidup penerima — termasuk peningkatan pendapatan, kestabilan ekonomi keluarga dan kemampuan mereka keluar daripada kebergantungan kepada bantuan.
Menurutnya, kerajaan memerlukan bukti keberhasilan yang boleh disemak bagi memastikan setiap intervensi benar-benar memberikan impak kepada kumpulan sasar.
Mengulas kedudukan semasa kemiskinan negeri, Hajiji berkata statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024.
Dalam tempoh sama, kadar kemiskinan tegar turut berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus.
Bagaimanapun, beliau mengakui Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi berbanding negeri lain dan melebihi paras nasional — sekali gus menuntut usaha yang lebih berfokus dan berterusan.
Justeru, 13 indikator tambahan miskin tegar Sabah yang dipersetujui pada 2023 perlu dimanfaatkan sebagai instrumen penilaian dan pemprofilan bagi mengenal pasti punca kemiskinan setiap keluarga.
“Indikator ini penting untuk menentukan bentuk intervensi yang bersesuaian serta memantau perubahan keadaan isi rumah dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau juga mahu pembangunan kerangka penilaian kemiskinan negeri diperkukuh, dengan mengambil kira realiti sosioekonomi dan keperluan khusus rakyat Sabah.
Hajiji menggesa semua kementerian dan agensi supaya mengutamakan penyelarasan, perkongsian maklumat serta pelaporan yang konsisten, kerana agenda pembasmian kemiskinan merupakan tanggungjawab bersama.
Beliau berkata semua dapatan dan cadangan daripada Simposium KESTRA 2026 perlu digabungkan dalam satu pelan tindakan praktikal untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.
“Dapatan simposium ini perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, supaya usaha pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.

























Add Comment