PAPAR: Amalkan politik sopan-santun dan ambil iktibar daripada sejarah politik masa lalu.
Itu pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Dato Sri Gulam Haidar Khan Bahadar, kepada ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kawang ketika merasmikan serentak mesyuarat agung tahunan ketiga-tiga sayap itu, di sini pada Ahad.
Katanya, sejarah politik masa lalu tertulis pengajaran penting untuk tidak terus-terusan berbangga dengan prestasi atau pencapaian, sebaliknya perlu bekerja secara berterusan.
“Marilah kita amalkan pendekatan politik sopan santun, utamakan nilai-nilai kemanusiaan dan menghargai perbedaan.
“Semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda dan Beliawanis, harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya bersedia untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti di masa depan,” katanya.
Gulam yang juga Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Kawang turut meminta supaya jentera parti dipersiapkan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Katanya, data dan fakta di kawasan masing-masing, termasuk di peringkat cawangan perlu dikemaskini.
Beliau mengulangi pendirian bahawa Gagasan Rakyat komited memberi sokongan pada Kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya, Gagasan Rakyat akan terus bekerjasama dengan parti-parti tertentu dan sehaluan dalam Kerajaan Perpaduan yang sudah terbina jambatannya dalam menghadapi PRN nanti.
“Kita tidak pernah dan tidak akan membakar jambatan itu, sebagaimana cuba dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan keadaan.
“Inilah uniknya Gagasan Rakyat. Biarpun jiwanya lokal, tapi citranya berada di persada nasional,” katanya.
— TAMAT
Add Comment