KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merombak mana-mana agensi atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak berprestasi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik.
“Kami di pihak Kerajaan sentiasa menilai semula prestasi jentera kerajaan di semua peringkat supaya prestasi berada pada tahap optimum.
“Malah, kami sedang dalam proses untuk melihat beberapa entiti ini untuk penstrukturan semula,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Media Bersama Ketua Menteri di sini, semalam.
Beliau memberikan jaminan bahawa langkah tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang ketirisan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan menghargai jasa baik pihak media dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan di negeri ini.
Katanya, media memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan rakyat dan negeri, kerana menerusi laporan media ia kadang kala menjadi antara sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan rakyat.
“Malah, ketika berlakunya pergolakan politik di Sabah baru-baru ini, media menjadi antara sumber utama rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar.
“Di sinilah saya melihat, media telah memainkan peranan mereka untuk memberi laporan-laporan terkini situasi yang berlaku ketika itu, pada setiap masa,” katanya.
Hajiji menyeru agar pengamal media mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimbulkan rasa bimbang.
Katanya, media massa juga berperanan penting dalam usaha memupuk semangat perpaduan dan mengekalkan keamanan yang berterusan dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama di negeri ini.
“Kerajaan negeri sangat mengharapkan pihak media memberi kerjasama dengan menyiarkan laporan yang positif, sahih, seimbang serta menjaga sensitiviti agama, bangsa, kaum serta ekonomi.
“Kepentingan pihak media dalam pembangunan sosio ekonomi dan kebudayaan tidak boleh dinafikan, ia amat dihergai kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, saya mahu agar pengamal media di Sabah akan terus membantu kerajaan negeri dalam mempromosi agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment