KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) diseru untuk memberi sokongan terhadap pembangunan infrastruktur pelancongan di daerah Kota Marudu.
Pengerusi The Native Foundation, Datuk Maijol Mahap berkata, sokongan itu sangat diperlukan memandangkan aksesibiliti dan kemudahan adalah faktor penting bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah itu.
“Suka saya menekankan akan kepentingan kita dalam memelihara warisan budaya dan alam semula jadi sebagai sumber ekonomi yang mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku ‘Discovering Kota Marudu: A Guide to Geosite and Geotourism Kinabalu UNESCO Global Geopark di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) September lalu.
Maijol yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, buku itu merupakan panduan pelancongan pertama di daerah itu dan dilihat sebagai usaha penting dalam mempromosikan potensi geopelancongan serta geotapak yang terdapat di daerah itu yang selama ini mungkin kurang dikenali.
“Kini, dengan pengiktirafan Kinabalu Geopark sebagai UNESCO Global Geopark, Kota Marudu yang menjadi sebahagian daripadanya mendapat pengiktirafan global.
“Ini membuka peluang besar untuk mempromosikan kekayaan semula jadi, sejarah, dan warisan budaya yang ada di sini,” katanya.
Turut hadir dalam pelancaran buku tersebut ialah, Setiausaha Tetap KePKAS, Josie Lai, Penolong Pegawai Daerah Kanan mewakili Pegawai Daerah Kota Marudu sebagai Pengerusi Penganjur, Mashal Anthony.
— TAMAT
Add Comment