KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) sekali lagi melaksanakan diskaun pembayaran balik di bawah Program Rebat Penghargaan bermula April hingga 30 Jun depan.
Pembayaran balik ini diberikan sehingga 25 peratus untuk pembayaran sekaligus dan 15 peratus (pembayaran separuh pinjaman).
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, program ini adalah insentif KYS bagi memudahkan para peminjam melunaskan baki pinjaman pengajian mereka.
“Sebelum ini, rebat 25 peratus hanya diberikan kepada peminjam pengajian yang ingin memendekkan tempoh bayaran sekurang-kurangnya 75 peratus daripada tempoh pembayaran balik yang ditetapkan.
“Namun, program yang dilaksanakan tahun ini, semua peminjam layak mendapat rebat yang ditawarkan berdasarkan syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini baru-baru ini.
Katanya, program ini juga menokok tambah usaha Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan insentif bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.
“KYS juga menawarkan rebat sebanyak 15 peratus kepada para peminjam yang ingin membayar separuh (50 peratus) daripada baki pinjaman mereka.
“Peminjam yang berminat mestilah menandatangani surat akuan penerimaan rebat yang telah disediakan,” katanya.
Menurutnya, KYS telah mempelbagaikan kaedah pembayaran demi memudahkan peminjam membuat pembayaran termasuklah menerusi dalam talian.
“Peminjam mempunyai pelbagai pilihan pembayaran digital, seperti aplikasi Maybank2u serta perpindahan menggunakan telegraf dan JomPAY.
“Sebagai alternatif, kami juga menerima pembayaran yang dibuat melalui Arahan Tetap Bank, draf bank dan cek,” katanya.
Gulamhaidar berkata, dengan lebih banyak kutipan pembayaran pinjaman pengajian ini, kami harap dapat mengumpul lebih banyak dana bagi membolehkan tajaan pendidikan untuk pelajar pada masa akan datang.
— Hamzah Sanudin
Add Comment