Home » Pelihara warisan budaya Dusun Tombonuo – James
Uncategorized

Pelihara warisan budaya Dusun Tombonuo – James

James berkata, selain menjaga dan memelihara adat dan budaya, pendidikan anak-anak etnik Tombonuo juga perlu diberi perhatian kerana pendidikan merupakan aset penting dan mampu mengubah taraf hidup pada masa hadapan.

PAITAN: Masyarakat Dusun Tombonuo khususnya generasi muda digesa memelihara warisan budaya tradisi masyarakat agar tidak lenyap ditelan zaman.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, ini amat penting kerana tanpa disedari, warisan budaya tradisional kini berdepan ancaman kepupusan.

“Budaya tradisional merangkumi amalan dan cara hidup pelbagai kaum dan kaum di negeri ini termasuk bahasa ibunda, pakaian, makanan, adat resam, kesenian dan sebagainya.

“Ketamadunan sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni dan budayanya. Warisan budaya ini perlu dikekalkan kerana ia mempunyai identiti tersendiri.

“Budaya melambangkan identiti sesuatu bangsa. Justeru, untuk mengekalkan dan memelihara adat resam, budaya dan sebagainya, kesedaran berterusan perlu diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakatnya,” katanya.

Sementara itu, James menambah, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang stabil dan berada di landasan yang betul dalam memacu pembangunan di negeri ini selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan SMJ adalah kerajaan yang mampu menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi dan melaksanakan pembangunan adil antara bandar dan luar bandar.

“Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini, saya mengajak semua pucuk pimpinan PBTS untuk terus menghargai dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.Ini untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang lebih baik di negeri Sabah khususnya di kawasan luar bandar yang masih amat memerlukan pembangunan,” katanya.

Dalam program itu, James meluluskan sumbangan pembinaan Rumah Budaya Tombonuo di sini.

“Semoga sumbangan ini memberi impak yang bermanfaat kepada seluruh rakyat Tombonuo khususnya dalam menjaga dan memelihara adat budaya termasuk kebajikan dan pendidikan,” katanya.

Clarence Dol