KALABAKAN :Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa setiap inisiatif pembangunan yang digerakkan kerajaan negeri sentiasa berorientasikan rakyat, dengan memberi tumpuan kepada keseimbangan wilayah, kesamarataan peluang, pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, kerajaan negeri mahu memastikan hasil pembangunan dapat dirasai semua lapisan rakyat termasuk di daerah Kalabakan.
“Segala usaha yang kita lakukan ini adalah untuk rakyat. Kita mahu setiap projek pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, bukan hanya di bandar besar tetapi juga di kawasan luar bandar,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Kalabakan Laju Untuk Maju, yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Hajiji menegaskan Kalabakan mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, perikanan, perladangan dan pelancongan. Beliau berkata tanah subur di daerah itu mampu menghasilkan tanaman bernilai tinggi seperti kelapa sawit, koko, getah serta buah-buahan tropika untuk pasaran tempatan dan eksport.
“Selain itu, sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya masyarakat tempatan boleh dikembangkan melalui produk homestay, eko-pelancongan dan pelancongan komuniti. Ini secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduk setempat,” katanya.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur asas di Kalabakan termasuk menaik taraf jalan raya utama, jalan luar bandar, bekalan air serta liputan elektrik.
Sektor pendidikan juga tidak dipinggirkan melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan akses pendidikan lebih baik untuk anak-anak di daerah tersebut.
Mengulas kedudukan strategik Kalabakan yang bersempadan dengan Kalimantan, Hajiji berkata ia membuka ruang besar bagi pembangunan sosioekonomi, khususnya dengan pembinaan jalan raya menghubungkan Simanggaris (Kalimantan) ke Serudong (Kalabakan).
“Apabila siap, jalan ini akan memberi impak besar kepada Kalabakan dan Sabah secara keseluruhannya,” jelas beliau.
Hajiji menegaskan usaha kerajaan negeri membangunkan Sabah tidak wajar dinafikan oleh pihak tertentu. Beliau menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang hanya menanam kebencian.
“Masih banyak projek pembangunan yang akan dibawa ke daerah ini. Sokongan rakyat amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan di bawah kepimpinan GRS dapat diteruskan,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan geran tanah pewartaan kampung, geran lot pantas, Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), serta Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai pengiktirafan kepada pencapaian masyarakat setempat.
— TAMAT

























Add Comment