Home » Kinabatangan diiktiraf rizab biosfera UNESCO : Hajiji
Berita GRS Politik

Kinabatangan diiktiraf rizab biosfera UNESCO : Hajiji

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU :Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan pengiktirafan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO sebagai satu lagi pencapaian penting negeri dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar serta biodiversiti bertaraf dunia.

Pengiktirafan itu diumumkan semasa Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program MAB (ICC) yang berlangsung pada 27 September lalu di Hangzhou, China.

“Status ini akan memberi nilai tambah besar kepada Sabah dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta membuka lebih banyak peluang kerjasama global. Kerajaan negeri komited memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat, serta mengukuhkan kerjasama strategik agar manfaat pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Proses Pencalonan dan Pengiktirafan

Hajiji berkata, Jemaah Menteri Negeri Sabah telah meluluskan pencalonan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera pada 30 Mac 2022, manakala dokumen pencalonan diluluskan pada 7 Ogos 2024.

Proses pemilihan yang berlangsung selama dua tahun itu diketuai oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, industri, serta komuniti tempatan.

Dengan pengiktirafan ini, Kinabatangan menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah selepas Banjaran Crocker (2014), dan yang keempat di Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 759 Rizab Biosfera telah diwujudkan di 136 negara di seluruh dunia.

Kaya Biodiversiti dan Warisan Budaya

Rizab Biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar yang meregang sejauh 560 kilometer sepanjang Sungai Kinabatangan. Kawasan ini diiktiraf kerana kekayaan biodiversiti dan ekosistem uniknya, termasuk habitat bagi:

  • 315 spesies burung
  • 100 spesies reptilia
  • 33 spesies amfibia
  • 127 spesies mamalia
  • Lebih 1,000 spesies tumbuhan vaskular

Antara spesies endemik dan terancam yang menjadi ikon kawasan ini ialah orang utan Borneo (Pongo pygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), monyet probosis (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus), harimau dahan (Neofelis diardi), serta lapan spesies burung enggang asli Sabah.

Selain biodiversiti, pengiktirafan ini turut menyokong usaha pemeliharaan dialek Sungai, yang disenaraikan sebagai “Sangat Terancam” dalam Atlas Bahasa Dunia yang Terancam UNESCO.

Pengiktirafan Bertaraf Dunia

Menurut Hajiji, penilaian UNESCO mengambil kira ekologi unik Kinabatangan, amalan pengurusan mampan serta penyertaan meluas pelbagai pihak berkepentingan melalui proses rundingan selama 22 bulan. Jawatankuasa Penasihat MAB UNESCO turut memuji kualiti dokumen pencalonan Sabah yang jelas dan komprehensif.

“Ini adalah bukti komitmen negeri dalam melindungi khazanah semula jadi dan warisan budaya kita, agar ia terus diwarisi generasi akan datang,” kata beliau.

— TAMAT