KOTA KINABALU:University College Sabah Foundation (UCSF) disaran membuka peluang kemasukan kepada pelajar antarabangsa sebagai langkah memperluas jaringan global dan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan, khususnya di rantau Borneo dan BIMP-EAGA.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah itu bukan sahaja mampu meningkatkan reputasi UCSF di peringkat antarabangsa, malah merangsang perkongsian ilmu, memperkayakan pengalaman pembelajaran serta memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Syabas kepada UCSF atas usaha memperkukuh jaringan antarabangsa. Hubungan strategik bersama institusi di Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina membuktikan UCSF tidak lagi melihat sempadan geografi sebagai batas kepada kecemerlangan.
“Sebaliknya, universiti ini sedang membuka ruang yang lebih luas kepada mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama serta pembangunan komuniti rentas negara,” katanya.
Beliau yang juga Canselor UCSF berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-4 UCSF, di sini, Sabtu.
Hajiji berkata, pengantarabangsaan UCSF berpotensi memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pendidikan tinggi, khususnya dalam lingkungan Borneo dan BIMP-EAGA.
Menurutnya, sebagai institusi pendidikan tinggi milik Yayasan Sabah, UCSF mempunyai peranan signifikan bukan sahaja sebagai pusat penyampaian ilmu, tetapi juga dalam melahirkan generasi baharu yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut menyambut baik usaha UCSF memperluas penawaran akademik menerusi program baharu termasuk Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Asasi Sains serta pembangunan program Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian).
Beliau berkata, usaha membangunkan program di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) pula menunjukkan UCSF sedang bergerak ke fasa baharu dengan memberi penekanan lebih besar kepada penyelidikan, inovasi dan pembangunan ilmu.
“Inilah transformasi yang kita harapkan daripada sebuah institusi pengajian tinggi,” katanya.
Hajiji berkata, beliau turut dimaklumkan UCSF merupakan antara institusi utama yang membekalkan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri pelancongan dan perhotelan di Sabah.
Kerajaan Negeri, katanya, akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan pendidikan tinggi dan yakin UCSF mampu melakar lebih banyak kejayaan menerusi kerjasama erat antara kepimpinan universiti, Lembaga Pengarah, tenaga akademik, warga kerja serta Yayasan Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata agenda pembangunan modal insan negeri terus diperkukuh menerusi peruntukan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.
Menurutnya, peruntukan itu menampung penerima sedia ada serta tajaan baharu 2026 melibatkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
Sehingga kini, seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluas akses anak Sabah kepada pendidikan berkualiti.
“Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerana sektor berkenaan merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata, Sabah memerlukan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi, kreatif dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat.
Selain biasiswa, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk 14 inisiatif yang diperkenalkan sejak 2021 bagi membantu pelajar dan keluarga menangani peningkatan kos pendidikan serta sara hidup.
Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS/SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Hajiji turut menggalakkan pelajar Sabah menerokai bidang strategik yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan, termasuk minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau berkata, pembangunan modal insan berkualiti akan terus menjadi antara asas penting dalam memastikan Sabah mempunyai generasi berilmu dan berkemahiran untuk memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.

























Add Comment