TAWAU: Penduduk di daerah ini diminta untuk sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati ketika memasak bagi mengelak berlakunya insiden kebakaran.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semua penduduk kampung perlu menggunakan peralatan memasak dengan cermat seperti dapur gas.
Katanya, beri tumpuan sepenuhnya ketika memasak di dapur terutamanya menyiapkan juadah berbuka puasa atau bersahur.
“Banyak kejadian kebakaran disebabkan kecuaian ketika memasak seperti lupa menutup api akibat tertidur ataupun melakukan kerja lain.
“Saya berharap semua penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan rumah atas air, sentiasa berwaspada ketika memasak supaya tidak berlaku kebakaran yang besar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini semalam.
Beliau menyalurkan sumbangan kewangan dan barang keperluan dapur, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan bahan makanan mentah.
Nizam berharap dengan bantuan yang diberikan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga mereka.
“Saya juga berharap supaya mangsa kebakaran dapat bersabar dengan dugaan yang diterima dan yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya.
Add Comment