Bolehkah Datuk memberikan gambaran keseluruhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)?
Persekutuan Malaysia tidak lahir dengan sendirinya, tetapi melalui sejarah yang panjang. Ia meliputi satu proses merangkumi pelbagai bentuk siri libat urus dan perundingan sebelum permuafakatan dapat dicapai melalui pemeteraian Perjanjian Malaysia (MA63).
MA63 merupakan sebuah dokumen bersejarah yang ditandatangani oleh lima pihak: United Kingdom (UK), Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura yang diwakili oleh 22 orang para pemimpin. MA63 telah dimeterai pada 9 Julai 1963 di London dan didaftarkan di Sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970.
Di bawah undang-undang antarabangsa, perjanjian antara negara merdeka dan berdaulat mempunyai status sebagai sebuah triti. Daripada lima pihak tersebut, dua entiti merupakan negara yang merdeka dan berdaulat, iaitu UK dan Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu, status quo Singapura pada masa itu adalah sebagai sebuah wilayah atau negeri naungan, manakala Sarawak dan Borneo Utara merupakan koloni/tanah jajahan British.
Antara objektif dan inti pati utama MA63 ialah pemindahan status kedaulatan dan kekuasaan tiga wilayah, iaitu Borneo Utara, Sarawak dan Singapura daripada UK menjadi wilayah merdeka melalui penggabungan/penyekutuan wilayah membentuk Persekutuan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Artikel IV MA63. Secara ringkasnya, MA63 adalah sijil lahir kepada Persekutuan Malaysia sekali gus bermaksud tanah air ini terbentuk melalui MA63.
Setelah sekian lama, mengapakah MA63 hingga kini terus menjadi isu?
Ia berbalik kepada asas-asas dan sejarah penubuhan Malaysia itu sendiri. Setiap wilayah yang terlibat mempunyai asas penelitian masing-masing dalam mempertimbangkan kebersamaan membentuk Malaysia. Di pihak Borneo Utara (Sabah), selain faktor ancaman keselamatan serantau dan semangat nasionalisme ke arah kemerdekaan, isu pembangunan merupakan antara asas pertimbangan utama.
Pada masa yang sama, harapan penyertaan dalam agenda pembentukan Malaysia itu juga datang bersama dilema dan kebimbangan. Antaranya hakikat bahawa kedudukan Borneo Utara yang pada masa itu belum merdeka dan masih mundur dari aspek politik serta ekonomi membawa risiko penjajahan bentuk baharu oleh Tanah Melayu yang telah lama merdeka dan membangun. Selain itu, aspek perbezaan demografi dengan wilayah lain khususnya Tanah Melayu dalam konteks taraf sosio-ekonomi, kepelbagaian kaum dan agama juga menjadi pertimbangan penting.
Itu sebabnya antara kandungan Laporan Suruhanjaya Cobbold mendapati sungguhpun sebahagian besar penduduk Borneo Utara memihak kepada penyertaan dalam pembentukan Malaysia, namun respons penduduk Sabah terbahagi kepada tiga bentuk utama. Pertama, bersetuju untuk bersama dalam Malaysia. Kedua, cenderung untuk bersetuju namun mengkehendaki jaminan perlindungan hak dan kepentingan selain ada sebilangan yang menentang gagasan Malaysia.
Inilah asasnya mengapa kebimbangan, syor dan tuntutan suara Sabah dan juga Sarawak itu diberikan perhatian dan jaminan sebagaimana terkandung dalam MA63. Ini meliputi peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan pindaan yang dilaksanakan melalui Rang Undang-Undang Malaysia yang kemudiannya diluluskan menjadi Akta Malaysia 1963. Selain itu, jaminan itu juga termaktub dalam Artikel VIII MA63.
MA63 terus menjadi isu apabila didapati ada perkara-perkara asas sebelum ini yang diubah sama ada secara langsung atau tidak langsung, ada perkara-perkara yang belum dilaksanakan dan yang paling penting apabila dilihat aspek pembangunan di Sabah masih ketinggalan. Ini jelas melalui indikator-indikator yang boleh dilihat dengan mata kasar seperti isu kemudahan dan infrastruktur asas meliputi isu jalan raya, bekalan elektrik, air, selain isu sosioekonomi, kemiskinan dan peluang pekerjaan. Selagi isu-isu ini belum ditangani dengan sewajarnya, selagi itulah juga MA63 akan terus dikumandangkan.
Ada pihak berpendapat kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan mengapakah MA63 menjadi polemik?
Pendapat dan persepsi seumpama ini memang wujud. Soalan ini perlu dijawab dengan menyeluruh. Saya lihat puncanya adalah berbalik kepada kurangnya kefahaman dan pendedahan terhadap status MA63 itu. Hakikatnya MA63 dan Perlembagaan Persekutuan saling terkait dan saling melengkapi.
Ya memang Perlembagaan Persekutuan merupakan ‘supreme law of the land’. Perlu diketahui proses pembentukan Malaysia telah membawa perubahan besar kepada perlembagaan asal Persekutuan Tanah Melayu.
Malah asas dan punca kuasa kepada pindaan perlembagaan itu adalah MA63 itu sendiri. Perkara II dalam MA63 menggariskan tanggungjawab Kerajaan Tanah Melayu untuk menggubal undang-undang melalui Parlimen Persekutuan Tanah Melayu untuk melengkapkan proses pembentukan Malaysia. Pertanggungjawaban inilah yang membawa kepada kehadiran Akta Malaysia 1963.
Secara keseluruhannya, akta ini telah menstruktur semula Perlembagaan Persekutuan 1957. Sebanyak 87 daripada 181 perkara asal dan 10 daripada 13 jadual kepada Perlembagaan Persekutuan telah dipinda. Sebanyak 35 perkara baharu pula telah dimasukkan. Dalam bahagian awal akta ini juga secara jelas tersurat bahawa ia digubal untuk memberi kuat kuasa kepada MA63 yang memerlukan kepada pindaan perlembagaan, selain merupakan salah satu ‘annexes’ dalam MA63.
Pada masa yang sama, perlu difahami sebelum pindaan perlembagaan dan MA63 itu dimeterai, proses pembentukan Malaysia telah melalui pelbagai siri dan platform rundingan termasuk pungutan suara. Antaranya, CPA (Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel), MSCC (Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia), Suruhanjaya Cobbold dan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan). Setiap satunya amat penting dan antara peranan utama IGC adalah mengkaji dan memutuskan kerangka Perlembagaan Persekutuan, dan menjadi asas kepada penggubalan Perlembagaan Sabah dan Perlembagaan Sarawak.
Secara ringkas, laporan IGC telah diterbitkan yang membawa kepada termeterainya MA63 sungguhpun tidak semua perkara dapat diputuskan sepenuhnya pada masa itu. Perkara-perkara yang berjaya disepakati telah dimasukkan menjadi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama, Perkara VIII MA63 secara jelas memperuntukkan tanggungjawab di pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak untuk mengambil tindakan berbentuk perundangan, eksekutif atau tindakan lain yang diperlukan untuk melaksanakan jaminan-jaminan, perakuan-perakuan dan syor-syor yang terkandung dalam Bab 3, Lampiran A dan B kepada Laporan IGC, bagi mana-mana perkara yang belum dilaksanakan atau belum terkandung secara jelas sebagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara VIII MA63 ini amat penting dan relevan sehingga hari ini dan pada masa akan datang. Apa maksudnya? Hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak itu tidak seharusnya hanya tertakluk kepada perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan semata-mata, dan MA63 adalah jaminan perundangan kepada komitmen untuk terus menyusul syor dan jaminan yang terkandung dalam Laporan IGC.
Mengapakah diskusi berkaitan MA63 dilihat cenderung bersifat politik dan menjadi modal politik kepartian di Sabah?
Saya melihat diskusi berkaitan MA63 adalah sesuatu yang positif. Masalahnya adalah kecenderungan berbicara tentang MA63 tidak berlandaskan fakta dan MA63 itu sekadar jadi modal dagangan politik kepartian. Itu sebabnya ada pihak yang tiba-tiba muncul umpama ‘pejuang jadi-jadian’ MA63 khususnya untuk mempengaruhi sentimen rakyat semata-mata untuk meraih sokongan politik dalam pilihan raya. Itu sebabnya juga ada pihak yang sekian lama berada dalam kerajaan dahulunya tidak berbicara tentang MA63, tetapi kini siang malam berbicara tentang MA63 apabila berada di luar kerajaan.
Ya benar itu adalah hak mereka yang kita tidak boleh nafikan. Namun harus diingat ketika satu jari kita menuding, meletakkan kesalahan kepada orang lain, empat jari yang lain secara fitrahnya menuju ke arah diri sendiri. Hakikatnya, mereka-mereka ini berpuluh tahun duduk dalam kerajaan sama ada di peringkat persekutuan dan negeri, termasuk berada dalam posisi dan kedudukan yang amat strategik. Bila bertanya kenapa tidak laksana sekarang, orang lain boleh tanya kenapa mereka tidak usahakan sampai jadi dan terlaksana semasa mereka berada dalam koridor kuasa.
Sejauhmana pelaksanaan MA63 setakat ini di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan?
Sejak dari awal terbentuknya Kerajaan Perpaduan, agenda menyusul dan melaksanakan isu-isu tertangguh berkaitan MA63 telah menjadi keutamaan. Ia dizahirkan dengan komitmen YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam pertemuan rasmi kali pertama Ahli Jemaah Menteri yang telah mengarahkan YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan saya supaya menyediakan laporan status isu-isu berbangkit untuk dibentangkan di kabinet dalam tempoh satu bulan.
Selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri, saya telah membentangkan Nota Jemaah Menteri dan diikuti dengan Memorandum Jemaah Menteri dalam tempoh yang ditetapkan. Kabinet memutuskan supaya platform rundingan sedia ada di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak distruktur semula dan diperkasakan dalam kaedah dan ‘mode’ pelaksanaan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) MA63.
Setiap kementerian telah diarahkan untuk bukan sahaja menyusul malah melaporkan secara berkala status kemajuan setiap isu di bawah tanggungjawab masing-masing melalui urusetia kepada Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri II dan Jawatankuasa Penyelarasan yang saya ketuai.
Selanjutnya, dalam tempoh kurang dua bulan dari pembentukan Kerajaan Persekutuan, MTPMA63 telah bersidang untuk kali pertama di Kuching, Sarawak. Setakat dalam tempoh 100 hari pertama, 3 perkara yang berkaitan secara langsung telah diluluskan dan dilaksanakan.
Antaranya, ‘devolution of authority (pemberian kuasa) kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak melalui JKR (Jabatan Kerja Raya) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk melaksanakan sepenuhnya projek-projek pembangunan persekutuan untuk siling peruntukan RM50 juta ke bawah. Perkara ini adalah hasrat Sabah sekian lama, dan kita amat menghargai akhirnya ia dapat direalisasikan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, kita juga telah berjaya menyelesaikan komponen penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Sabah bermula Januari 2023. Kemudiannya akan disusul untuk penyelesaikan keseluruhan dengan proses pelengkap iaitu penyerahan kuasa kawal selia elektrik pada Januari 2024.
Pelantikan wakil Kerajaan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarah LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) sebagai susulan kepada pelantikan wakil Kerajaan Sabah yang telah dilaksanakan lebih awal yang kemudiannya akan diselesaikan sepenuhnya melalui perundangan dengan memuktamadkan proses pindaan Akta LHDN pada tahun ini juga.
Beberapa perkara lagi kita yakin dapat diselesaikan pada tahun ini. Ia melibatkan penyelesaian dalam konteks selesai sepenuhnya, iaitu pelaksanaan secara keseluruhan, atau selesai sebahagian, yang bermaksud pelaksanaan secara ‘interim’ iaitu menguatkuasakan dahulu pendekatan atau butiran yang telah berjaya mendapat persetujuan bersama sementara butiran lain terus dirundingkan. Ini termasuk perkara-perkara yang melibatkan proses legislatif.
Pada masa yang sama, pendekatan lain juga diguna pakai contohnya memperkukuhkan lagi penglibatan Sabah dan Sarawak dalam industri minyak dan gas. Sebagaimana CSA (Commercial Settlement Agreement) di antara Sarawak dan Petronas, penglibatan Sabah diperkasakan melalui CCA (Commercial Collaboration Agreement) bersama Petronas. Perjanjian-perjanjian ini digerakkan dengan teras dan prinsip untuk memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai ‘greater say’, ‘greater participation’ dan ‘greater revenue sharing’ dalam industri minyak dan gas yang diterokai di kawasan perairan masing-masing, antaranya melalui pemilikan ekuiti.
Ada pihak yang mendakwa iaitu Parti Warisan bahawa mereka telah menyelesaikan 17 daripada 21 perkara dalam MA63 ketika memimpin Kerajaan Negeri dalam tempoh 2 tahun, apa ulasan Datuk?
Saya fikir tidak perlu saya ulas panjang kerana yang membangkitkan adalah Warisan, maka ‘the onus is on Warisan’ untuk menyatakan apakah 17 perkara itu dan buktikan kesemuanya diselesaikan semasa Warisan mengetuai Kerajaan Negeri.
Apakah konteks dan definisi ‘selesai’ bagi Warisan. Adakah sekadar membangkitkan itu dianggap selesai sedangkan pelbagai isu berkaitan MA63 sudah lama berbangkit sejak sebelum Warisan ditubuhkan lagi. Kalau setakat selesai ‘membangkit’, tuntutan berkaitan MA63 ini telah lama dibangkit oleh banyak pihak. Dalam konteks parti, PBS, STAR dan UPKO telah jauh lebih awal komited berjuang atas landasan MA63 berbanding Warisan.
Bagi saya, apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahukan adalah selesai dalam konteks yang sebenar iaitu telah dibangkit, telah diputus dan telah mula dilaksana. Inilah definisi yang kami guna dalam mengukur pencapaian pelaksanaan MA63 dan melihat kepada fakta, saya menafikan ada 17 perkara telah selesai dalam tempoh Warisan memimpin Kerajaan Negeri.
Saya tidak ada masalah sekiranya Warisan cuba untuk menggambarkan bahawa mereka berjuang menyelesaikan 17 atau 30 malah 50 perkara sekalipun. Itu hak mereka dan saya faham sebagai sebuah parti politik mereka pasti cuba mencari isu dan strategi untuk dilihat terus relevan. Masalahnya adalah cubaan itu dilakukan bersama gambaran bahawa pihak lain khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melakukan apa-apa.
Selain itu, isu yang dikemukakan bersandarkan hujah yang tidak tepat dan mengelirukan. Begitu juga, cara mereka berbicara secara tidak langsung umpama menggambarkan kerajaan hari ini iaitu Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak melaksanakan apa yang mereka dakwa telah ‘selesaikan’.
Saya perlu tampil memberikan respon, apatah lagi media atau pihak tertentu telah meminta penjelasan daripada saya mengambil kira isu-isu tersebut terkait secara langsung dengan bidang tugas saya dalam Kerajaan Persekutuan. Lebih-lebih lagi apabila pihak yang membuat dakwaan memetik nama saya dalam kenyataan-kenyataan mereka.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap urusetia pemantauan dan pelaksanaan MA63, saya memberikan respons berdasarkan fakta daripada sumber dan rekod yang rasmi. Ya saya adalah Menteri Persekutuan, namun pada masa yang sama saya juga mempunyai amanah untuk meneruskan legasi perjuangan para pemimpin terdahulu dan paling penting aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.
Saya bersyukur kerana para pemimpin awal telah menyediakan asas dan landasan untuk saya melaksanakan pertanggungjawaban ini. Itu sebabnya, dalam ucapan awal saya di Dewan Rakyat, saya telah merakamkan ucapan terima kasih dan memberikan pengiktirafan kepada mantan Menteri-Menteri di peringkat persekutuan yang telah melaksanakan amanah yang sama berkaitan MA63 sebelum ini.
Saya meneruskan perjuangan mereka, antaranya, Tan Sri Anifah Aman dan Dato’ Sri Nancy Shukri yang bersama mempengerusikan JKDA-MA63 (Jawatankuasa Devolution of Authority), mendiang Datuk VK Liew melalui JKKKMA63 (Jawatankuasa Khas Kabinet MA63) yang juga adalah pemimpin Warisan, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili melalui MKMA63 (Majlis Khas MA63) dan ramai lagi termasuk Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memainkan peranan penting dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengukuhkan status dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Perkara 1, Fasal (2) dan Perkara 160 Fasal (2) yang telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Disember 2021.
Mengapakah isu berkaitan kadar pemberian khas yang disebut sebagai 40 peratus telah menjadi isu utama sejak sekian lama MA63 di Sabah sehingga membawa kepada kes mahkamah?
Ia menjadi isu utama bukan sahaja kerana kadar pemberian khas ini amat penting untuk memenuhi tuntutan keperluan dana negeri, tetapi ia juga merupakan hak negeri yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengapa terus menjadi isu, kerana sehingga kini ‘constitutional right’ ini dilihat tidak dipenuhi sepenuhnya.
Ya isu ini telah menjadi kes mahkamah. Saya pernah membangkitkan di Dewan Rakyat tentang kedudukan isu ini yang terkait dengan prosiding di mahkamah sehingga ada pihak yang ‘spin’ seolah-olah saya menutup pintu perbincangan tentang hak Sabah.
Peraturan Mesyuarat 36(2) dan 23(1)(g) Dewan Rakyat secara jelas menyebut bahawa sebarang isu yang dibicarakan di mahkamah tidak boleh dibahaskan di Parlimen. Ia tertakluk kepada pertimbangan Yang di-Pertua Dewan. Namun sebagai seorang anggota pentadbiran, saya perlu berhati-hati kerana tidak mahu sebarang kenyataan saya di Parlimen dianggap sub judice kepada proses mahkamah.
Apapun, saya fikir tidak ada halangan untuk saya sekadar menyebut peruntukan undang-undang dan beberapa status berkaitan, tanpa memberikan pendapat tentang isu-isu khusus yang menjadi pertikaian di mahkamah.
Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan meletakkan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak. Formula asal pemberian khas untuk Sabah dinyatakan secara jelas dalam Bahagian IV, Jadual Kesepuluh iaitu kadar 2/5 atau apa yang disebut sebagai 40 peratus daripada hasil bersih tahunan yang dikutip oleh persekutuan di Sabah.
Perkara 112D memperuntukkan tentang tanggungjawab untuk membuat semakan kadar pemberian khas ini bagi setiap lima tahun. Satu peruntukan yang rata-rata para pemimpin di Sabah tidak mahu sebut secara terbuka adalah Perkara 112D Fasal (2) yang menyatakan kajian atau semakan kadar pemberian khas hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, selain berusaha memastikan hasil negeri adalah mencukupi untuk membayar kos perkhidmatan negeri. Perkara 112D (6) pula memperuntukkan pertimbangan penaksir bebas sebagai mekanisme rujukan sekiranya wujud keperluan.
Sejak tertubuhnya Malaysia, semakan pertama telah dibuat pada tahun 1969. Semakan ini dikuatkuasakan melalui Perintah Undang-Undang pada tahun 1970 yang dikeluarkan di bawah Perkara 112D dan telah di-‘laid’ (dibentangkan) di Parlimen pada tahun 1971.
Tersurat dalam perintah itu bahawa ulangkaji atau semakan telah dibuat dan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan kadar baharu. Kadar itu bermula dengan RM20 juta bagi tahun 1969 dan meningkat setiap tahun sehingga kadar RM26.7 juta bagi tahun 1973.
Tersurat juga dalam perintah ini bahawa Persekutuan hendaklah terhenti daripada memberi kepada Negeri Sabah pemberian yang dinyatakan dalam Bahagian IV, Jadual Kesepuluh tersebut dan digantikan dengan kadar baharu yang dipersetujui berkenaan. Apa maksudnya, saya tidak mahu membuat intepretasi sendiri dan ada baiknya pihak yang berminat menyemak sendiri setiap perkataan dalam perintah berkenaan.
Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, sewajarnya satu semakan baharu dibuat untuk menentukan kadar baharu bermula tahun 1974 berdasarkan Perkara 112D. Namun sehingga tahun 2022, tidak ada sebarang semakan dibuat dan Sabah terus menerima kadar RM26.7 juta sehingga tahun 2021.
Kenapa tidak ada semakan? Saya tidak tahu dan saya belumpun lahir pada masa itu. Mungkin boleh bertanya kepada para pemimpin awal termasuk yang pernah memegang jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan berpuluh tahun sebelum ini. Namun, saya jangka mungkin kerana tidak ada persetujuan di antara kedua-dua peringkat kerajaan sehingga kadar itu dibiarkan begitu sahaja.
Seperkara yang perlu kita fikirkan ialah siapakah yang beruntung dan siapa yang rugi sekiranya jumlah kadar itu tetap sama dari 1973 hingga berpuluh tahun kerana tidak ada persetujuan kadar tambahan. Bagi saya Persekutuan beruntung kerana hanya perlu terus memperuntukkan RM26.7 juta setahun dan Sabah terus dalam kerugian kerana menerima jumlah yang rendah, sedangkan Sabah amat memerlukan dana peruntukan.
Atas sebab itu pada tahun 2022 Kerajaan Negeri pimpinan GRS memutuskan untuk bersetuju dengan pengaturan interim (interim arrangement) untuk membolehkan kadar sedia ada ditambah. Hasil perbincangan, Sabah bersetuju untuk menerima tawaran semakan dengan kadar baharu iaitu bermula dengan RM125.6 juta bagi tahun 2022 dan meningkat sehingga RM142.6 juta pada tahun 2026. Satu peningkatan melebihi 4 kali ganda. Perintah Undang-Undang untuk menguatkuasakan kadar baharu ini telah dikeluarkan pada tahun yang sama dan di-‘laid’ di Parlimen.
Perlu diingat sebagaimana surat-surat menyurat rasmi kedua-dua pihak dan kenyataan media bersama (joint media statement) Kerajaan Persekutuan dan Negeri, persetujuan semakan kadar baharu adalah tertakluk dan tanpa prejudis kepada hak Sabah untuk terus membuat tuntutan semakan berlandaskan formula asal 40 peratus dan hak untuk menuntut tunggakan bagi tempoh semakan tidak dibuat di antara tahun 1974 hingga 2021.
Pada masa yang sama, sungguhpun perintah yang dikeluarkan adalah untuk tempoh lima tahun (2022 – 2026), namun persetujuan ini tidak menyekat kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan dan kadar pemberian khas boleh dinaikkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut.
Ini terbukti dengan pengumuman YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meningkatkan kadar pemberian khas kepada Sabah pada tahun ini daripada RM129.7 juta yang patut diterima bagi tahun 2023 kepada jumlah baharu iaitu RM300 juta. Kedua-dua pihak sedang memuktamadkan proses untuk menguatkuasakan keputusan tersebut dan Sabah akan menerima jumlah tersebut pada tahun ini juga.
Inilah yang sebenarnya berlaku pada tahun 2022 dan adalah tidak benar dakwaan Parti Warisan bahawa GRS membuat ‘deal’ secara senyap-senyap dan mengkhianati rakyat Sabah. Segalanya dibuat dalam platform rasmi dan rujukan boleh dibuat terhadap dokumen-dokumen kerajaan termasuk kenyataan media secara bersama sebagaimana yang saya sebutkan tadi.
Ya memang kadar ini masih jauh rendah jika dibandingkan dengan anggaran kita berdasarkan formula 40 peratus, namun sekurang-kurangnya peningkatan yang jauh lebih besar daripada jumlah semakan pertama ini boleh digunakan untuk manfaat rakyat serta-merta.
Melalui pendekatan ini, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan keseluruhan jumlah RM125.6 juta tersebut untuk program baharu iaitu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) atau PPRT model Sabah dengan anggaran pembinaan 1,500 unit setahun. Program ini akan diteruskan setiap tahun. Kita patut bersyukur dengan penyelesaian interim ini puluhan ribu isi rumah akan mendapat manfaat langsung setiap tahun.
Ironinya, Warisan menjadikan pendekatan interim ini sebagai satu isu politik sedangkan Warisan sendiri sebenarnya telah membuat pendekatan yang sama semasa mengetuai Kerajaan Negeri. Dengan mempertikaikan strategi pengaturan interim GRS, umpama Warisan cuba ‘memadamkan’ atau ‘menyembunyikan’ pendekatan sama yang telah mereka buat, malangnya pada kadar semakan yang jauh lebih rendah iaitu hanya bermula dengan RM53.4 juta bagi tahun 2020.
Persetujuan semakan pada kadar ini jelas diumumkan secara terbuka dalam kedua-dua pembentangan Belanjawan Persekutuan 2020 oleh YB Lim Guan Eng, Menteri Kewangan pada masa itu dan Belanjawan Negeri 2020 yang dibentangkan oleh YB Datuk Seri Panglima Shafie Apdal sendiri selaku Menteri Kewangan Sabah.
Ada pula pemimpin Warisan menyebut bahawa semakan yang dibuat oleh Warisan itu tidak sama dengan GRS kerana tidak ada perintah atau warta yang dikeluarkan. Sekali lagi Warisan cuba menyembunyikan fakta dan mengelirukan rakyat Sabah.
Mengapa saya katakan demikian kerana hakikatnya semakan kepada apa yang disebutkan sebagai pemberian khas adalah menggunakan punca kuasa Perkara 112D. Dalam peruntukan undang-undang itu jelas disebutkan bahawa sebarang semakan perlu dikuatkuasa melalui pengeluaran perintah undang-undang. Tanpa perintah dan warta kerajaan ini, Kementerian Kewangan Malaysia tidak boleh menyalurkan peruntukan tersebut.
Jadi apa yang berlaku sebenarnya? Pertama, Warisan telah bersetuju dengan semakan pada kadar hanya RM53.4 juta dan boleh disemak rekod rasmi surat Kerajan Warisan kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada bulan Oktober 2019.
Kedua, persetujuan itu disusuli dengan proses pengeluaran perintah undang-undang sebagaimana tawaran yang terkandung surat rasmi Kementerian Kewangan Malaysia juga pada bulan yang sama dan dibalas dengan persetujuan rasmi bersurat oleh Kerajaan Warisan.
Ketiga, kenapakah perintah undang-undang itu tidak wujud? Kerana ketika Kementerian Kewangan Malaysia dalam proses menyediakan warta tersebut, Kerajaan Warisan telah terpaksa membubarkan DUN dan seterusnya tumbang dalam pilihan raya negeri di Sabah pada bulan September 2020.
Keempat, sebaik mengambil alih Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah mengutus surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk membatalkan persetujuan Warisan tersebut. Ini kerana kadar semakan yang dipersetujui tersebut terlalu rendah dan sekali gus rundingan semula diadakan yang membawa kepada pengaturan berbentuk ‘interim’ pada tahun 2022, dan rundingan akan diteruskan.
Saya mengharapkan Warisan dapat bersama dalam perkara-perkara yang membawa kebaikan untuk negeri dan rakyat. Walau berbeza kedudukan, kesatuan semua pihak di Sabah mengangkat agenda kepentingan negeri adalah amat diperlukan.
Datuk ada menulis buku bertajuk Sabah Dalam Persekutuan Malaysia: MA63 Sebagai Kontrak Sosial. Apa respon terhadap dakwaan pihak tertentu bahawa buku ini merendahkan kedudukan MA63 sebagai hanya sebuah kontrak sosial?
Pertama, ‘don’t judge a book by its cover’. Kalau sudi bacalah buku ini dan boleh difahami apakah kandungan sebenarnya. Tapi kalau ada pihak hanya berminat untuk mencari isu untuk tujuan politik, maka sudah pastinya kecenderungan mereka kepada perkara yang boleh mengelirukan, bukan kepada kandungan.
Kedua, saya fikir mereka tidak faham maksud teori ‘Kontrak Sosial’ itu sendiri sehingga wujud persepsi bahawa kontrak sosial itu tidak melibatkan perundangan. Hakikatnya, setiap apa yang dinamakan ‘kontrak’ pastinya mempunyai ikatan undang-undang kerana itu definisi kontrak. Begitu juga, kontrak sosial sebenarnya lebih meluas kerana bukan hanya ia mengikat secara undang-undang per se, namun wujud ikatan perjanjian sosial.
Tidak pernah pula saya mendengar dan membaca kenyataan pihak yang menjadikan buku ini sebagai isu memetik mana-mana kandungan buku yang disifatkan merendahkan MA63. Apa yang dibuat hanya mempolemikkan tajuk semata-mata. Hakikatnya, melalui buku itu saya cuba membawa satu naratif segar dalam diskusi dan perjuangan memartabatkan MA63. Ini penting kerana komitmen pelaksanaan MA63 menuntut bukan hanya rakyat di Sabah dan Sarawak, malah seluruh tanah air, termasuk para penggubal dan pelaksana dasar. Komitmen itu lahir daripada pemahaman yang jelas berhubung nilai dan makna MA63.
Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa MA63 adalah sebuah perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang, malah ia adalah sebuah triti antarabangsa. Pada masa sama, ia juga sebuah kontrak sosial yang mengikat seluruh rakyat Malaysia secara sosial. Kontrak sosial di antara kaum Melayu, Cina dan India itu diiktiraf sebagai sebuah kontrak sosial dan telah dijadikan landasan perundangan, dasar dan program kerajaan. Ia merupakan kontrak sosial dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, iaitu kontrak sosial ‘antara kaum’.
Asas kepada kontrak sosial penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 sebenarnya adalah kontrak sosial ‘antara wilayah’ iaitu Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada masa itu. Sekiranya kontrak sosial versi 1957 itu telah diterima, maka kontrak sosial versi 1963 itu juga perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Saya membawakan diskusi dan kajian MA63 dari disiplin serta perspektif baharu bahawa MA63 seharusnya dilihat bukan hanya dalam konteks perjanjian ‘legal’ malah satu bentuk ‘akad tatanegara’ yang dipersetujui semua pihak terlibat.
Secara ringkasnya, salah satu teras kepada akad tatanegara melalui kontrak sosial itu adalah muafakat dalam menubuhkan Malaysia ini datang bersama persetujuan kolektif untuk menerima dan mengiktiraf status, kuasa-kuasa serta kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Inilah naratif yang saya persembahkan dengan menyebut MA63 sebagai kontrak sosial, iaitu melihat dan meletakkan nilai serta makna MA63 dari satu sudut dan disiplin tambahan, selain penegasan bahawa MA63 ini adalah perjanjian antarabangsa yang kekal hidup dan relevan dari dulu, kini dan selamanya.
Adakah Datuk optimis Kerajaan Perpaduan akan membawa perubahan yang signifikan dalam konteks komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap MA63 dan pembangunan Sabah dan Sarawak secara keseluruhannya?
Saya amat positif dan optimis bahawa Kerajaan Perpaduan dapat melaksanakan sesuatu yang lebih signifikan terhadap komitmen MA63. Kita patut bersyukur kini kita mempunyai platform rundingan rasmi ketiga-tiga pihak dalam ‘mode’ pelaksanaan melalui MTPMA63. Kalau dahulu sekian lama kita perjuangkan dalam pelbagai cara dan kaedah, namun tidak wujud platform rundingan rasmi khusus untuk membincang, memutus, dan memantau pelaksanaan.
Kini kita ada BHESS selaku urusetia, dan kita ada seorang Timbalan Perdana Menteri yang mewakili Malaysia Timur yang sekali gus menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, selain Perdana Menteri sendiri mempengerusikan MTPMA63 sebagai platform rundingan utama.
Saya yakin banyak perubahan yang bernilai dan bermakna dapat direalisasikan dengan komitmen tinggi YAB Perdana Menteri. Sejak dari awal YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyebut bahawa MA63 ini adalah kesepakatan yang telah dimeterai oleh para pelopor awal tanah air, dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjunjung dan melaksanakannya.
Pada masa yang sama, Semua ini dapat berlaku atas kerjasama rapat dan permuafakatan ketiga-tiga kerajaan iaitu Persekutuan, Sabah dan Sarawak atas semangat perpaduan untuk meningkatkan kemakmuran.
Bagaimana Datuk melihat masa depan Sabah di bawah Kerajaan Perpaduan dan apakah aspirasi yang Datuk harapkan untuk Sabah?
Di Sabah, fokus dan agenda utama kita adalah lonjakan pembangunan. Selain komitmen daripada persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri sendiri memerlukan penjanaan hasil negeri yang semakin meningkat untuk memenuhi tuntutan dan keperluan pembangunan yang semakin meningkat.
Lonjakan pembangunan itu tidak dapat dimaknai dengan retorika politik dan romantika sejarah semata, kita perlukan dana. Isu dan masalah yang diwarisi sekian lama tidak boleh diselesaikan dengan sekadar air liur, ucapan berapi-api dan penuh emosi. Kita perlukan wang untuk bangunkan infrastruktur, cipta peluang pendapatan untuk rakyat, bina rumah rakyat serta paling asas memastikan rakyat punyai makanan di atas meja.
Itu sebabnya negeri memerlukan penambahan hasil melalui hak perlembagaan kita seperti pemberian khas dan penerokaan hasil-hasil khazanah negeri seperti minyak dan gas serta sumber-sumber baharu. Kewibawaan dan kecemerlangan sesebuah kerajaan dan kepemimpinan perlu dinilai berdasarkan pencapaian mengurus dan menambah hasil negeri.
Dalam konteks ini, kita bersyukur kini Kerajaan Negeri GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan pencapaiannya. Selama berbelas tahun kutipan hasil negeri berada pada paras RM4 bilion, dan adakalanya turun kepada RM3 bilion. Selepas setahun pentadbiran GRS, kali pertama dalam sejarah Sabah sejak merdeka, kutipan hasil negeri menembusi paras RM5 bilion iaitu RM5.4 bilion pada tahun 2021. Syukur momentum peningkatan itu diteruskan dengan lebih tinggi dengan kejayaan mencapai kutipan RM6.9 bilion bagi tahun 2022.
Dalam kita mengiktiraf pencapaian ini, kutipan hasil jiran kita Sarawak telah menembusi paras RM10 bilion setahun. Saya yakin kita boleh mencapai kejayaan yang sama kerana potensi Sabah cukup luas dan besar. Saya melihat antara faktor kejayaan Sarawak adalah kestabilan dan kesatuan mereka sekian lama.
Kepelbagaian mereka jauh lebih rencam, namun mereka memilih untuk bersatu atas kepentingan yang jauh lebih besar, iaitu negeri dan rakyat secara keseluruhannya tanpa mengira kaum dan agama. Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa Sabah perlu belajar daripada kesatuan yang ada di Sarawak untuk membina kestabilan politik dan sekali gus pembangunan negeri.
Ada orang bertanya adakah Sabah perlu meniru formula Sarawak? Jawapan saya kita perlu meneladani apa juga yang baik dan telah terbukti berjaya. Sarawak mempunyai kriteria itu. Sarawak punyai formula politik tersendiri, dan kita di Sabah mula merintis formula baharu. GRS adalah ikhtiar kita untuk merintis jajaran politik lokal sebagai formula tempatan. Kita tidak menolak elemen nasional kerana hakikatnya kita berada dalam sebuah persekutuan. Namun penting untuk dipastikan bahawa kehadiran entiti politik nasional dalam politik Sabah perlu berlandaskan kepada teras bahawa kepentingan negeri perlu menjadi keutamaan, Sabah First.
Kedua, wadah lokal perlu menjadi teras kepada kuasa politik di Sabah. Atas sebab itu kita bekerjasama membentuk gabungan dengan parti-parti nasional dalam Kerajaan Negeri Sabah iaitu dengan kehadiran parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH). Lebih mudah kerana para pemimpin mereka di Sabah bukanlah asing dan komitmen serta istiqamah mereka terhadap perjuangan hak dan kepentingan Sabah selama ini tidak boleh dipertikaikan.
Insya-Allah, usaha yang kita rintis akan berjalan dengan baik. Kita sedia maklum pasti ada pihak yang tidak senang melihat kesatuan ini. Pasti ada unsur-unsur politik pecah dan perintah yang boleh menggugat kesatuan ini. Saya berharap semua pihak komited dengan Formula Sabah yang Bersatu (Sabah United) ini.
Kita telah melalui sejarah panjang politik yang membawa di mana kita berada pada hari ini. Tidak perlu apologetik, namun jangan kita tidak mengambil teladan dan melangkah ke hadapan dengan formula baharu. Kita kuat apabila kita kersatu, kesatuan akan memperkuatkan ‘bargaining power’ kita untuk kepentingan negeri dan rakyat Sabah.
Kesatuan dan kekuatan ini penting bukan hanya untuk memastikan politik kita stabil dan kita fokus untuk melaksanakan agenda pembangunan, namun ia juga memberikan nilai dan makna yang besar kepada kuasa tawar menawar Sabah dengan di peringkat persekutuan.
Akhirnya, perjuangan dan kelantangan kita membawa suara kepentingan Sabah ini tidak sesekali bermaksud kita anti persekutuan. Isu ini tidak wajar timbul kerana persekutuan ini adalah tanah air kita bersama. Kelestarian dan kemakmuran persekutuan ini boleh dicapai secara hakiki apabila setiap komponen dan wilayahnya juga makmur. Kita mahu bukan sahaja Malaysia itu maju, malah semua wilayahnya berkemajuan.
Add Comment