KUALA PENYU: Sebanyak 44 rumah ibadat, masing-masing 21 buah masjid dan 23 buah surau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Kelmarin, Limus yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya menyampaikan sumbangan peribadi kepada 1,352 golongan asnaf termasuk 103 pengerusi masjid dan surau serta para imam dalam Program Ziarah Ramadan yang diadakan.
Beliau berkata, sumbangan peribadi itu selain meraikan masyarakat Islam setempat, ia juga bertujuan meringankan sedikit beban golongan asnaf menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Tambah beliau, pihaknya turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 4,027 buah rumah di Kuala Penyu dan Menumbok yang menyambut Aidilfitri, sebagai tanda kebersamaannya.
“Usaha melalui program seumpama ini sudah dimulakan sejak saya menjadi wakil rakyat di Kuala Penyu dari tahun 2013 dan berterusan setiap kali Ramadan tiba sehingga kini.
“Ia bagi bersama-sama masyarakat Islam memeriahkan Ramadan dan pada masa sama menunjukkan walau berlainan agama, keharmonian serta toleransi adalah budaya rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo dalam Program Ziarah Ramadan yang diadakan di Masjid Nurul Hayat Pekan Kuala Penyu, kelmarin.
Sempena dengan Program Ziarah Ramadan di Masjid Nurul Hayat, selain menyampaikan sumbangan kepada asnaf berkesempatan menyampaikan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir.
Mengulas lanjut, Limus memberitahu keharmonian antara agama dan kaum di Sabah harus dipertahankan daripada sebarang anasir luar atau dalam kerana ia adalah budaya yang sudah dipraktikkan sejak dahulu lagi.
“Sabah sungguh istimewa dan hubungan kita adalah sangat unik kerana walau berbeza agama atau pun kaum, kita masih tetap berkeluarga kerana ia sudah menjadi budaya kita sejak berzaman,” katanya.
Add Comment