Home » Wanita Gagasan Rakyat perkukuh kesatuan organisasi menerusi aktiviti sukan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Wanita Gagasan Rakyat perkukuh kesatuan organisasi menerusi aktiviti sukan

SEMANGAT KESUKANAN: Redonah bersama anggota Wanita Gagasan Rakyat pada Program Santai Bowling di Kota Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU:Program Santai Bowling Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim, memperkukuh semangat kekitaan serta membina kesatuan dalam kalangan anggotanya.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda, berkata aktiviti sukan seperti bowling memberi peluang kepada anggota untuk meluangkan masa bersama dalam suasana santai dan ceria, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Menurutnya, aktiviti sukan juga mampu memupuk nilai positif seperti disiplin, kerjasama, semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi.

“Melalui aktiviti sukan, kita dapat mempamerkan nilai dan semangat kesukanan serta daya juang yang baik.

“Pada masa sama, ia membantu melahirkan masyarakat yang cergas, aktif dan produktif, selain menerapkan nilai-nilai murni dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya pada Program Santai Bowling Wanita Gagasan Rakyat, di sini, Khamis.

Redonah berkata, aktiviti riadah secara bersama turut membuka ruang kepada anggota Wanita Gagasan Rakyat untuk berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

Beliau berkata, hubungan yang erat dan semangat berpasukan amat penting dalam memastikan gerak kerja organisasi terus tersusun serta berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada parti dan masyarakat.

“Dalam organisasi, kita bukan sahaja perlu bekerja sebagai satu pasukan, tetapi juga perlu membina hubungan yang baik sesama anggota. Program santai seperti ini memberi ruang untuk kita berinteraksi dalam suasana yang lebih mesra,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu akan terus digalakkan sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan suasana kerja berpasukan yang harmoni, sihat dan positif dalam kalangan anggota wanita.

Redonah turut berharap lebih banyak aktiviti riadah dan sukan dapat dianjurkan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai anggota Wanita Gagasan Rakyat dari seluruh Sabah.