KOTA KINABALU: Ahli dan penyokong Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) digesa supaya tidak terikut-ikut dengan spekulasi dan naratif yang sengaja dihidupkan pihak tertentu di media sosial yang melibatkan soal kepimpinan serta penyusunan jentera parti di peringkat kawasan.
Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian berkata, ketika parti sedang melalui proses penstrukturan semula, pasti akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Mereka menabur pelbagai persepsi, katanya, dengan tujuan mencetuskan kekeliruan dan menggugat tumpuan ahli.
Jelas beliau, seluruh struktur kepimpinan parti,termasuk Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Redonah Bahanda,kekal berdiri teguh dan bekerja secara berpasukan. Keutamaan parti adalah memperkukuh khidmat kepada rakyat serta menyumbang kepada kestabilan politik Sabah.
“Kepimpinan Datuk Redonah terserlah melalui komitmen dan tanggungjawab yang digalas serta dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Rekod perkhidmatan dan komitmen beliau juga jelas terbukti melalui kepimpinan di pelbagai peringkat,termasuk usaha memperkasa ahli dan pelaksanaan program kebajikan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Anna Bell menegaskan, apa jua percubaan untuk membina cerita kononnya wujud “konflik kepentingan”, atau mendesak mana-mana pemimpin berundur, melalui media sosial,tidak wajar dijadikan asas menilai seseorang pemimpin.
Katanya, hal kepimpinan dan penyusunan jentera parti adalah urusan dalaman parti yang sewajarnya dihormati. Ia bukan medan untuk spekulasi, bukan tempat untuk tekanan emosi atau dorongan sehala daripada naratif palsu media sosial.
“Prestasi pemimpin harus dinilai berdasarkan rekod kerja, khidmat kepada rakyat dan sumbangan kepada organisasi. Bukan berdasarkan sentimen, bukan berdasarkan tuduhan rekaan,” tegas beliau.
Anna Bell turut mengingatkan bahawa dalam fasa parti memperkukuh struktur dan jentera, perpaduan dalam kalangan kepimpinan serta ahli di semua peringkat mesti terus dipelihara.
Justeru, beliau berpesan kepada akar umbi supaya sentiasa berwaspada. Jangan mudah terpengaruh dengan provokasi atau sebarang usaha yang berpotensi mencetuskan perpecahan dalaman.
“Sekarang bukan masanya untuk kita membiarkan spekulasi memecah-belahkan parti. Sebaliknya, kita perlu memperkukuh saf, memperkemas jentera dan terus bekerja untuk rakyat.
“Fokus utama kita ialah memperkukuh kesiapsiagaan parti dan memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa didahulukan,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah parti terletak pada kesatuan, disiplin dan semangat berpasukan ahli,serta kesediaan semua pihak menghormati proses dan keputusan kepimpinan parti. Menurutnya, Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Redonah. Pergerakan itu juga akan menumpukan usaha memperkukuh organisasi, memperluas khidmat kepada masyarakat dan memastikan gerak kerja parti terus sampai ke peringkat akar umbi.

























Add Comment