Home » Kerjasama strategik KUSKOP–Kerajaan Negeri perkasa PMKS dan Koperasi Sabah
Berita GRS Politik

Kerjasama strategik KUSKOP–Kerajaan Negeri perkasa PMKS dan Koperasi Sabah

KERJASAMA: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (kanan) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, di Menara Kinabalu, hari ini. Pertemuan itu membincangkan kerjasama memperkukuh pembangunan PMKS dan koperasi di Sabah.

KOTA KINABALU:Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi di Sabah menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan menerusi KUSKOP dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi.

Menurutnya, KUSKOP turut memberi perhatian kepada penyediaan ruang niaga bagi membuka lebih banyak peluang kepada penjaja dan usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.

Usaha berkenaan selaras dengan hasrat mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih kondusif, sekali gus membantu PMKS dan koperasi di Sabah berkembang secara lebih mampan dan berdaya saing.

Dalam pertemuan sama, Mohamad turut menjemput Hajiji untuk merasmikan majlis penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah, yang dijadual berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Kota Kinabalu.

Hajiji dijadual menyempurnakan majlis penutupan pada 25 Oktober, manakala karnival berkenaan dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung.

Kunjungan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal; serta wakil TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Bank Rakyat.