TUARAN:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengulangi komitmennya untuk memastikan keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Tuaran terus menerima limpahan pembangunan secara seimbang dan tidak ketinggalan berbanding kawasan lain di Sabah.
Beliau berkata, sebagai Ketua Menteri yang berasal dari Tuaran, tanggungjawabnya bukan sahaja memastikan pembangunan berterusan di DUN Sulaman yang diwakilinya, malah turut merangkumi Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
Menurut Hajiji, usaha akan terus dilaksanakan bagi membawa lebih banyak kemudahan dan peluang ekonomi kepada rakyat supaya pembangunan Tuaran bergerak seiring dengan kemajuan daerah lain di negeri ini.
“Saya sentiasa mencari jalan untuk bantu pastikan kawasan Tuaran, khususnya Sulaman dan Pantai Dalit, termasuk juga Tamparuli dan Kiulu terus membangun dan maju.
“Kalau boleh kita mahu daerah Tuaran ini lebih maju atau setara pembangunannya dengan daerah lain di seluruh Sabah, lebih-lebih lagi ini adalah kawasan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi DUN Sulaman dan Pantai Dalit Sesi 2026–2030 serta Penyerahan Bantuan Tunai kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan Tahun 2026, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 93 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan bagi tempoh 2026 hingga 2030, masing-masing membabitkan 48 Pengerusi JKKK di DUN Sulaman dan 45 di DUN Pantai Dalit.
Hajiji berkata, pembangunan yang dibawa ke Tuaran juga merupakan sebahagian daripada komitmennya membalas kepercayaan rakyat, khususnya di Sulaman yang terus memberikan sokongan sepanjang 36 tahun beliau menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan, termasuk lima tahun sebagai Ketua Menteri.
Beliau berkata, pelbagai kemudahan termasuk jalan kampung dan aktiviti ekonomi terus diberi perhatian bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan penduduk.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian bantuan tunai RM3,000 seorang kepada 200 peniaga dan penjaja tepi jalan di Sulaman dan Pantai Dalit menerusi peruntukan Sentuhan Kasih Hajiji 2026.
Bantuan berjumlah keseluruhan RM600,000 itu bertujuan meringankan beban peniaga kecil, selain membantu mereka meneruskan dan mengembangkan aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan keluarga.
“Ini adalah bantuan tunai Sentuhan Kasih daripada saya. Setiap tahun ada bantuan kepada peniaga kecil-kecilan ini kerana saya prihatin. Jadi tahun ini saya beri RM3,000 kepada seramai 200 orang di Sulaman dan Pantai Dalit.
“Program ini termasuk dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), iaitu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan inilah antara asas yang perlu kita laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan semua Pengerusi JKKK supaya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan isu serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, peranan JKKK tidak seharusnya terbatas kepada permohonan dan pelaksanaan projek pembangunan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha membina masyarakat yang bersatu padu dan harmoni.
“Tugas lebih besar bukan setakat melaksanakan projek, tetapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh memberi kesedaran kepada rakyat dan membawa kemajuan.
“Contohnya berganding bahu dengan rakyat melalui aktiviti gotong-royong di kampung. Ini boleh diusahakan kerana ia boleh merapatkan silaturahim sesama kita,” katanya.
Menurutnya, pertemuan berkala, aktiviti kemasyarakatan dan semangat gotong-royong perlu terus dipupuk bagi mempererat hubungan kekeluargaan serta mewujudkan komuniti yang lebih bersatu.

























Add Comment