KOTA KINABALU:Profesionalisme, etika dan kualiti perkhidmatan dalam kalangan pekerja sektor perhotelan perlu terus diperkasa bagi memastikan pelancong memperoleh pengalaman terbaik sepanjang berkunjung ke Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata tahap perkhidmatan, layanan mesra dan sikap profesional bukan sahaja mencerminkan imej sesebuah hotel, malah turut mempengaruhi persepsi pelancong terhadap sektor hospitaliti serta Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Kualiti perkhidmatan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan pelancong menerima pengalaman terbaik sepanjang berada di Sabah.
“Ia sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepuasan mereka serta mendorong mereka untuk kembali berkunjung ke negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Perkasa Hotel Holdings yang diketuai Pengerusinya, Datuk Flovia Ng, bersama rombongan di pejabatnya, di sini.
Dalam pertemuan itu, Masidi menerima taklimat mengenai perkembangan operasi, pengurusan serta perancangan Perkasa Hotel Holdings, termasuk usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja menerusi latihan dan pembangunan kemahiran secara berterusan.
Menurutnya, pembangunan kemahiran pekerja perlu diberi perhatian seiring dengan perkembangan industri hospitaliti dan peningkatan jangkaan pelancong terhadap mutu perkhidmatan.
“Tenaga kerja yang kompeten penting bagi memastikan setiap aspek perkhidmatan dapat disampaikan dengan cekap dan profesional.
“Saya berharap usaha ini dapat membantu melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran serta mampu memenuhi jangkaan pelancong,” katanya.
Masidi berkata, peningkatan mutu perkhidmatan sektor perhotelan turut memberi kesan positif kepada perkembangan industri pelancongan negeri kerana hospitaliti merupakan antara komponen penting dalam keseluruhan ekosistem pelancongan.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan setiap pelancong menerima tahap perkhidmatan yang konsisten tanpa mengira latar belakang atau negara asal.
Menurutnya, pengalaman positif sepanjang berada di Sabah bukan sahaja meningkatkan kepuasan pelancong, malah boleh mendorong mereka untuk kembali serta mengesyorkan Sabah sebagai destinasi pilihan kepada orang lain.
“Industri hospitaliti adalah antara komponen penting dalam ekosistem pelancongan negeri. Oleh itu, pembangunan tenaga kerja yang kompeten perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh kemudahan dan produk pelancongan,” katanya.
Masidi berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri juga perlu terus diperkukuh bagi memastikan sektor hospitaliti berkembang secara mampan dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

























Add Comment