SANDAKAN: Masyarakat perlu terus memelihara keamanan dengan mempertahankan maruah dan nilai kemanusiaan, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan serta tidak bersikap acuh tak acuh terhadap penderitaan orang lain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sejarah hitam peperangan harus dijadikan pengajaran mengenai akibat kebencian dan keganasan, bukannya diwariskan sebagai kebencian kepada generasi seterusnya.
“Sejarah ini tidak seharusnya digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya, ia mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dibawa oleh kebencian.
“Kemenangan semata-mata tidak pernah mencukupi sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar,” katanya pada Upacara Peringatan Hari Sandakan di Taman Peringatan Sandakan, di sini, Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, masyarakat perlu menolak kebencian, tindakan yang merendahkan martabat manusia serta sikap tidak peduli yang boleh membuka ruang kepada berulangnya penderitaan seperti yang pernah berlaku ketika Perang Dunia Kedua.
Mengimbas sejarah, Hajiji berkata kira-kira 2,700 tawanan perang Australia dan British melalui Sandakan antara 1942 hingga 1945, termasuk dalam peristiwa tragis Sandakan–Ranau Death Marches.
Menjelang Januari 1945, seramai 2,434 tawanan masih berada di Sandakan, terdiri daripada 1,793 warga Australia dan 641 anggota tentera British. Daripada jumlah itu, 2,428 terkorban dan hanya enam warga Australia terselamat selepas berjaya melarikan diri.
Enam individu berkenaan ialah Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham.
Hajiji berkata, kisah mereka yang terselamat juga tidak dapat dipisahkan daripada keberanian penduduk tempatan yang sanggup menghulurkan bantuan walaupun berdepan risiko terhadap keselamatan dan nyawa sendiri.
Antaranya ialah dua penduduk tempatan dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud yang membantu Owen Campbell.
Beliau turut mengenang sumbangan Bariga, Dihil Ambilid, Abing, Kulang serta ramai lagi penduduk tempatan yang keberanian dan pengorbanan mereka mungkin tidak pernah direkodkan sepenuhnya.
“Terdapat juga usaha terancang oleh penduduk tempatan, termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan, yang mengumpul maklumat dan membantu para tawanan meskipun berdepan risiko yang amat besar.
“Sebahagian anggota gerakan bawah tanah itu telah dihukum mati. Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri,” katanya.
Menurut Hajiji, keberanian tidak semestinya hadir dalam tindakan yang besar, sebaliknya boleh diterjemahkan menerusi perbuatan kemanusiaan yang dilakukan ketika orang lain berada dalam kesusahan.
“Kadang kala keberanian itu berupa sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadang kala ia berupa tempat untuk berlindung. Kadang kala ia berupa sebuah perahu yang berpatah balik menuju kepada seseorang yang meminta pertolongan,” katanya.
Hajiji berkata, sempena ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun ini, tanggungjawab untuk memelihara sejarah dan memperingati pengorbanan mereka yang terlibat perlu diteruskan.
“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda mengenai apa yang berlaku di sini, dan terus mengenang nama para tawanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengajaran daripada tragedi itu perlu terus menjadi peringatan bahawa keamanan tidak boleh dipandang ringan dan nilai kemanusiaan mesti sentiasa dipertahankan.

























Add Comment