TAWAU: Calon wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar diberikan pertimbangan setara dengan calon lelaki pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dengan penilaian berasaskan keupayaan, kelayakan, rekod kerja dan potensi untuk memenangi kerusi.
Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata faktor jantina tidak seharusnya menjadi ukuran utama dalam menentukan calon, sebaliknya kemampuan seseorang untuk memenangi kerusi dan melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat perlu diberi keutamaan.
Menurutnya, GRS mempunyai ramai pemimpin wanita yang berkelayakan, berpengalaman, bekerja keras dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRU16.
“Bagi saya, penilaian calon perlu berdasarkan keupayaannya untuk menang dan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Kerjanya untuk parti juga penting.
“Jadi, tidak sepatutnya ada kriteria yang berbeza. Kalau ada wanita yang berkebolehan dan berpotensi untuk menang, mengapa tidak diberikan peluang?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wanita GRS Zon 6A, di sini, Sabtu.

Azizah berkata, wanita yang mempunyai kemampuan serta memenuhi kriteria kepimpinan perlu diberikan ruang untuk bertanding, termasuk di kawasan yang secara tradisinya mungkin lebih sinonim dengan calon lelaki.
“Jangan ada yang mengatakan kawasan ini hanya untuk lelaki. Jika ada wanita yang berkebolehan, berilah peluang kepada mereka untuk bertanding.
“Saya yakin kita mempunyai wanita dalam GRS yang mempunyai keupayaan, bekerja kuat dan berpotensi untuk diketengahkan mewakili parti di Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata, prinsip utama dalam pemilihan calon seharusnya berasaskan merit, kebolehan bekerja untuk rakyat serta potensi untuk membawa kemenangan kepada parti.
Dalam perkembangan sama, Azizah berkata GRS menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 15 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada PRU16.
Menurutnya, kerusi Parlimen Tawau dan Kalabakan antara kawasan yang akan dipertahankan, justeru jentera parti perlu terus memperhebat gerak kerja dan mendekati rakyat secara konsisten.
“Kerja bersama rakyat bukan hanya ketika berdepan pilihan raya atau sepanjang tempoh kempen, sebaliknya perlu dilakukan sepanjang masa.
“Saya nasihatkan jentera supaya terus bekerja dan turun padang bersama rakyat di kawasan Parlimen yang merangkumi tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Azizah turut menyeru seluruh kepimpinan, anggota dan jentera GRS supaya memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih pucuk pimpinan, termasuk calon wanita.
Beliau berkata, apabila peluang diberikan kepada wanita yang memenuhi kriteria, sokongan menyeluruh daripada jentera parti amat penting bagi memastikan calon berkenaan mampu membawa kemenangan.
“Yang penting kita mahu menang. Jika kawasan itu mempunyai wanita yang berpotensi, berkemampuan dan memenuhi kriteria untuk menjadi pemimpin serta wakil rakyat, berilah peluang kepada mereka.
“Apabila calon sudah dipilih, semua pihak perlu memberikan sokongan,” katanya.

























Add Comment