KOTA KINABALU: Ahli Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) bersama delegasi BIMP-EAGA mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi meneroka peluang memperluas kerjasama perdagangan dan pelancongan di Sabah.
Pertemuan yang berlangsung di Menara Kinabalu pada Jumaat itu turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA).
Delegasi BEBC berada di Kota Kinabalu bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarahnya yang diadakan bersempena Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 (SIE2026).
Delegasi BEBC Malaysia diketuai Datuk Susan Chang, bersama Dr. Raymond Alfred yang mewakili Sabah, Nobel Pang (Sarawak) dan Azhar Othman (Labuan).
Turut hadir delegasi Indonesia yang diketuai Naib Pengerusi bagi Diplomasi Pelbagai Hala (BIMP-EAGA), Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN Indonesia), Andi Anzhar Cakra Wijaya, bersama Ira Kusumawardani dari KADIN Jakarta.
Delegasi Filipina pula diwakili Naib Presiden-Mindanao (BIMP-EAGA), Dewan Perniagaan dan Industri Filipina, Joji Bian, serta Elian Macala dari Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM) yang mewakili BEBC Filipina.
Sementara itu, BEBC Brunei Darussalam diwakili Pengiran Dr. Haji Haris Pg Haji Duraman dan Haji Alimen Haji Jaafar.
Pertemuan itu mencerminkan usaha berterusan memperkukuh jaringan perniagaan dan hubungan ekonomi serantau, selain meneroka potensi Sabah sebagai hab perdagangan, pelaburan dan pelancongan dalam kawasan BIMP-EAGA.

























Add Comment